klpost

MIC dijangka akan merampas kerusi Parlimen Sungai Siput, Teluk Kemang dan Kapar

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KETIKA ramai menjangkakan saingan sengit dalam pilihanraya akan datang hanya membabitkan parti-parti berasaskan kaum Melayu dan kaum cina, MIC sebagai parti orang India rupa-rupanya dalam diam-diam telah mengatasi PKR dan DAP dalam banyak hal di banyak kawasan Parlimen yang sekarang dikuasai mereka.

Dalam pilihanraya umum 2008, MIC bertanding di 9 kerusi parlimen yang secara tradisinya memang diperuntukkan kepada mereka. Dari jumlah tersebut, MIC hanya menang 3 iaitu di Segamat, Cameron Highland dan Tapah, manakala kerusi Parlimen Hulu Selangor pula dirampas dari PKR dalam pilihanraya kecil tahun 2010.

Menurut sumber dalaman PKR dan DAP sendiri, MIC dijangka akan merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Siput, Teluk Kemang dan Kapar yang terlepas ke tangan PKR pada 2008. Manakala bagi kerusi Parlimen Subang dan Kota Raja, MIC semakin hampir menguasai kawasan parlimen tersebut hasil maklum balas masyarakat setempat yang diterima setakat ini.

Cuma masalah MIC sekarang ialah mereka masih was-was dengan senarai calon yang bakal dietakkan di 2 kerusi parlimen tersebut. Tapi itupun khabarnya bukan masalah kerana MIC dikatakan bersedia bertukar kerusi dengan UMNO sebelum menuntut semula dalam PRU14 setelah keadaan ‘kembali tenang’.

Bercakap tentang Kota Raja, wakil rakyat PAS bagi kawasan tersebut, YB Dr. Siti Mariah Mahmud sudah ‘menyerah kalah’ untuk mempertahankan kerusi itu dan tempatnya akan diambil oleh ahli Parlimen Shah Alam sekarang, YB Khalid Samad.

Kepada sesiapa yang tidak tahu, penulis suka nak menyatakan disini bahawa Sungai Siput adalah kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi kaum India tertinggi di Malaysia dan Kota Raja kedua tertinggi.

Semua ini merupakan petanda yang kurang baik untuk Pakatan Rakyat, terutama sekali PKR. Kesilapan PKR membenarkan Dr. Jeyakumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding atas tiket parti tersebut pada 2008 jelas membawa padah, apabila Dr. Jeyakumar gagal membawa aspirasi PKR dalam memberi khidmat kepada penduduk kawasan tersebut, sebaliknya lebih berminat dengan agenda sosialis partinya.

Walaupun Dr. Jeyakumar berjaya menumbangkan Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri Samy Vellu, tapi itu ada kaitan dengan fenomena luar biasa penolakan rakyat terhadap pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, bukan kerana personaliti Dr. Jeyakumar atau PSM.

Mungkin PKR perlu memikirkan semula untuk bekerjasama dengan HINDRAF bagi ‘mencetuskan’ keadaan yang boleh membawa kepada ‘perasaan tidak selamat’ di kalangan kaum India seperti pada 2007.

Walaupun HINDRAF diketahui lebih cenderung kepada DAP dengan majoriti pemimpin utama pertubuhan tersebut menyertai DAP setelah HINDRAF diharamkan, tapi penulis tidak rasa itu satu halangan untuk kerjasama itu diadakan.

Yang penting, PKR perlu bijak memanipulasi kedudukkan sosial dan ekonomi orang India yang berada di belakang orang Melayu dan orang cina dalam pencetus perasaan tidak selamat ini dan seterusnya mengalihkan undi orang India kepada Pakatan Rakyat.

Strategi ini berjaya pada 2007 sehingga memberi kesan kepada sokongan orang India kepada parti-parti pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 dan penulis yakin strategi sama akan berjaya dalam pilihanraya umum akan datang.

Cuma yang sedikit merisaukan penulis ialah, kegagalan DAP melaksanakan janji yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penduduk Kg Buah Pala pada 2008, telah menjadi fenomena nasional (bukan setakat di Pulau Pinang) yang menjauhkan lagi orang India dari memberi sokongan kepada PKR.

Seharusnyalah PKR mengambil serius perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan semua kerusi parlimen yang sedang cuba diancam MIC itu, dapat dipertahankan dalam pilihanraya umum akan datang.