klpost

Menimba ilmu tidak mengira usia. Nenek 67 tahun mendapat ijazah.

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas V. Raja Rajeswary, 67, adalah antara 867 pelajar Open University Malaysia (OUM) yang menerima ijazah hari ini sempena konvokesyen ke-13 universiti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra d sini.

Beliau yang mempunyai dua orang anak dan empat orang cucu menerima ijazah Sarjana Pendidikan daripada Canselor OUM, Tun Jeanne Abdullah.

“Sebenarnya untuk sambung belajar adalah impian saya bersama mendiang suami saya yang meninggal dunia pada tahun 2006. Jadi saya mengambil keputusan untuk belajar seorang diri setahun kemudian selepas kematiannya dengan sokongan serta dorongan anak-anak,” katanya kepada Bernama.

Mengenai pembelajarannya, beliau berkata rakan pelajarnya yang lebih muda sentiasa memberi sokongan dan kerjasama yang baik kepadanya untuk belajar dan mereka tidak pernah meminggirkan idea yang dilontarkannya pada setiap sesi perbincangan berkumpulan.

Rajeswary yang bersara sejak 17 tahun lalu dan kemudiannya menjadi kakitangan Kolej Masterskill secara kontrak selama lapan tahun berazam menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah.

Sementara itu seorang orang kelainan upaya (OKU), Adelien Sualin, 34, menerima ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia.

Ditanya tentang kejayaannya, beliau yang mengalami kecacatan tulang belakang sejak lahir berkata kunci utama kejayaannya ialah pandai merebut peluang untuk belajar.

“Apa yang penting ialah peluang. Tiada alasan yang boleh menghalang saya berjaya seperti orang normal lain. Ada peluang sambung belajar, rebut peluang itu,” katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Perpustakaan di Jabatan Peguam Negara

OUM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan kepada Rektor Eszterhazy Karoly College, Hungary, Dr Zoltan Hauser dan Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Pengasas Villa College, Maldives, Qasim Ibrahim.

Mereka telah menjalin kerjasama dengan OUM menerusi penggunaan beberapa program pembelajaran OUM di negara mereka dan sekaligus meningkatkan imej Malaysia dalam bidang pengajian tinggi.

Bagi Anugerah Commonwealth Educational Media Centre for Asia, ia diberikan kepada graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat Dengan Kepujian, Juliana Ngahdirin, 34.

Seramai 6,271 graduan menerima ijazah dalam lapan sesi konvokesyen sehingga Selasa ini. – Bernama