klpost

Mengapa perlu (penubuhan bank Islam mega) di Malaysia

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Langkah penubuhan bank Islam mega di negara ini mampu meletakkan Malaysia pada kedudukan sebagai penanda aras dalam kewangan Islam global dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan ekonomi domestik, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Katanya penubuhan bank Islam mega juga akan meletakkan negara jauh ke hadapan berbanding negara-negara pesaing lain.

“Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan satu lesen (kepada entity berkenaan). Mengapa perlu (penubuhan bank Islam mega) itu, kita perlu melihat konteks ekonomi negara, di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara perkhidmatan kewangan merupakan antara satu bidang pertumbuhan ekonomi dalam negara dan ia juga merupakan satu sektor yang mana kita bersaing dengan negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan rangkaian Mydin yang ke-100 dan pasar raya besar Mydin yang ke-10 di Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Sejak tahun lepas sehingga kini, BNM belum membuat apa-apa pengumuman mengenai entiti yang telah diluluskan lesen berkenaan.

Pada Mac tahun lepas, BNM menjangkakan dua entiti yang diluluskan lesen sementara untuk menubuhkan bank Islam mega di negara ini akan mengumumkan pelan pelaburan mereka.

Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata BNM memberikan entiti berkenaan masa yang lebih lama untuk berbuat demikian berdasarkan persekitaran yang lebih mencabar serta pelaburan itu adalah besar.

Mengenai 84 memorandum yang antaranya mencadangkan penurunan cukai dan meningkatkan jumlah rumah mampu milik bagi Bajet 2013, Ahmad Husni berkata pihaknya telah memulakan perbincangan dengan kumpulan tumpuan pertama mengenai pelaburan swasta baru-baru ini.

“Kita ada 16 lagi kumpulan tumpuan yang mana proses itu akan berterusan dan selesai sehingga Julai. Kita ada dua peringkat iaitu pertama kajian mengenai kandungan memorandum iaitu apa yang dikehendaki dan dalam masa yang sama kita teruskan dengan perbincangan kumpulan tumpuan untuk mendapatkan input,” katanya.

Beliau berkata ada kalanya kandungan memorandum hanya menyentuh aspek tertentu secara am dan perkara itu akan mempunyai perincian dengan perbincangan kumpulan tumpuan.

“Mengenai pengurangan cukai, ia perlu kajian keseluruhan serta tertakluk kepada keadaan kewangan negara.”

“Dalam aspek kewangan negara, perlu difahami selain kita menguruskan kedudukan fiskal maknanya mahu kurangkan defisit, hutang negara, kita juga perlu menentukan peruntukan bagi tujuan pembangunan negara. Ini keseimbangan yang kita perlu lakukan,” katanya.

Ahmad Husni berkata pengurangan cukai bukan sesuatu yang boleh dibuat dengan mudah kerana ia bergantung kepada pendapatan dan perbelanjaan negara.

Pengurangan defisit pada tahun ini dijangka mencapai 4.7 peratus berbanding 4.8 peratus tahun lepas sebelum disasarkan sebanyak tiga peratus pada 2015. UMNO Online