klpost

Mengapa kahwin awal? – (2)

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

(bersambung dari Episod 1)

Berbalik semula kepada keadaan anak lelaki saya. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Hanya beberapa bulan sekembalinya ke Malaysia dan bertugas di salah sebuah agensi MARA, dia terus mendirikan rumah tangga dalam usia 23 tahun. Berapa sangatlah wang gaji yang dapat dikumpul setelah bekerja selama beberapa bulan. Namun, ALLAH telah memudahkan urusannya sehingga pihak perempuan sendiri tidak mempunyai masalah untuk menerimanya.

Sejarah berulang kembali. Jika dahulu saya berkahwin dengan seorang gadis yatim piatu, anak lelaki saya ini juga mendapat jodoh dengan gadis yatim piatu juga. Urusan pernikahan juga menjadi lebih mudah, kerana abang kepada menantu saya ini langsung tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima anak saya.

Mungkin ini juga dikatakan kebetulan. Tetapi, sebenarnya sedikit sebanyak faktor menjadikan ibu bapa sebagai idola untuk berkahwin awal, tidak patut disangkal!

Segera Menunaikan Kebaikan
Rata-rata mengetahui bahawa berkahwin adalah sunah yang perlu diikuti oleh setiap umat yang mengaku bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah nabinya. Setiap perkara yang dilakukan kerana sunah nabi tentu sekali akan meraih ganjaran pahala. Jika bernikah itu merupakan suatu sunah dan menjadi wajib kepada mereka yang tertentu, maka yang sengaja meninggalkannya akan menanggung dosa.

Berapa ramai teruna dan dara di luar sana yang berkasih-kasihan, selesa dengan keadaan dan status mereka hanya sebagai ‘kekasih yang tidak halal’. Amalan melambatkan perkahwinan (tanpa alasan kukuh), menjadikan hubungan kekasih ini sentiasa berpanjangan dalam keadaan berdosa.

Nama pun tidak halal. Jika makanan yang tertulis tidak halal, tentu sahaja hampir semua masyarakat Islam akan menjauhinya. Rata-rata akan mencari logo halal yang diiktiraf JAKIM. ‘Halal’… menjadi suatu perkataan keramat yang amat sensitif bagi umat Islam, hinggakan pengusaha bukan Islam pun berebut-rebut untuk membeli tanda halal dan mendapat pengesahan halal bagi barangan yang dikeluarkan. Kalau tidak dapat pengiktirafan, sanggup pula mereka membuat logo halal palsu!

Tetapi apabila disebut perhubungan yang halal atau lebih tepat dengan istilah ‘kekasih halal’ sebagai­mana yang dinyanyikan oleh kumpulan Wali Band, tidak ramai pula pria Islam yang berebut-rebut untuk mendapat pengiktirafannya. Keindahan alam percintaan dan asyik masyuknya sering membuat teruna dan dara terus dengan ‘kekasih haram’ mereka tanpa memikirkan impak yang akan diterima di dunia dan di akhirat kelak.

Apabila disebut kekasih haram, sudah pasti terselit unsur-unsur yang menyebabkan perhubungan di antara bujang dan dara ini bergelumang dengan dosa dan noda. Begitu jauh perbezaan antara yang berkahwin dengan yang tidak ada ikatan perkahwinan. Selagi bergelar kekasih tanpa ikatan nikah, walau hanya memimpin atau memegang tangan kekasih hati sahaja sudah jatuh haram hukumnya.

Daripada Ma`qil bin Yasar daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda:

 

Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya. – HR. Thabrani dan Baihaqi

Berbeza pula apabila si suami memimpin atau memegang tangan isterinya dengan kasih sayang. Perlakuan ini kelihatan remeh, tetapi ia sebenarnya mampu meraih ganjaran pahala daripada ALLAH S.W.T. Bagaimana dengan melihat wajah kekasih hati? Menyimpan gambar yang bukan muhrim sahaja sudah dikira berdosa apalagi memandangnya secara nyata. Sehinggakan ALLAH memerintahkan kepada perempuan dan lelaki agar menundukkan pandangan ketika berjalan.

 

Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih sayang), maka ALLAH akan memandang keduanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila seorang suami memegang jemari isterinya (dengan kasih sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya. – HR. Abu Sa’id

Begitulah indahnya Islam. Jalan sudah diberi, lampu jalan juga sudah dipasang sepanjang jalan, sign board sebagai petunjuk juga sudah siap sedia di kiri kanan kita. Malah, destinasi juga sudah dinyatakan awal-awal lagi. Tinggal kita sebagai umat baginda perlu melalui jalan yang betul untuk mencapai syurga-NYA.

Dengan semua kelengkapan dan kemudahan yang ALLAH berikan kepada hamba-NYA, masih ramai lagi yang terbabas ke ‘jurang neraka’. Apakah mereka tidak nampak jalan lurus yang terbentang di hadapan? Atau adakah mereka tidak tahu membaca petunjuk yang jelas menerangkan kawasan mana boleh masuk dan yang mana satu no entry!

Tidak Halal
Tidak cukup dengan itu, berapa ramai pula (kebanyakannya golongan belia) yang ‘mati’ di tengah jalan sebelum tiba ke destinasi. Lebih memeritkan lagi apabila terdapat ramai anak luar nikah yang ditinggalkan di dalam kotak, anjung surau atau lebih teruk lagi di dalam longkang, atau tempat yang kita sendiri tidak pernah terfikir. Betapa malangnya bayi yang terbuang itu hasil daripada nikmat sementara yang mereka kecapi itu.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rendah­nya akhlak dan moral masyarakat yang mendiami bumi indah Malaysia ini, sehinggakan setiap sepuluh minit akan lahirlah seorang anak luar nikah! Sekiranya bernasib baik, dapatlah bayi-bayi ini membesar sama ada di bawah jagaan Jabatan Kemajuan Masyarakat ataupun orang perseorangan yang menginginkan zuriat.

Sekiranya nasib bayi ini kurang baik, terbiarlah dia di tepi longkang dikerumuni semut dan kerengga yang menggigit. Tetapi, kebanyakannya akan berakhir di mulut anjing-anjing liar yang menggonggongnya sebelum dimakan. Natijahnya, yang ditemui semula hanyalah bangkai manusia yang cacat anggota!

Kepada pasangan yang masih berkasih-kasihan dan gagal untuk memegang status ‘kekasih halal’, renungkanlah dalam-dalam. Bacalah petunjuk yang setiap hari terbentang di depan mata. Ingatlah sentiasa tujuan dan matlamat akhir kita yang sebenar. Sesungguhnya, destinasi kita adalah syurga yang kekal abadi.

Janganlah terlalu asyik bercinta dan berkasih sayang tanpa menghiraukan dosa dan pahala, tanpa memikirkan balasan yang akan kita terima kelak. Segerakanlah menunaikan sunah Rasulullah iaitu berkahwin, agar ikatan yang haram bertukar menjadi halal. Secara langsung akan dilimpahi keberkatan, rahmat dan pahala yang berpanjangan dalam kehidupan.

Sekarang bagaimana? Pilihan ada di tangan kita. 
Saya masih teringat beberapa sesi temuduga yang pernah saya hadiri ketika dalam usaha untuk mencari pekerjaan. Salah seorang daripada panel temuduga menyoal saya. “Saya lihat dalam borang permohonan ini awak sudah berkahwin. Adakah saya salah lihat atau awak salah tulis?”

Memanglah panel temuduga itu tidak salah membaca. Mustahil belum berkahwin dengan sudah berkahwin tidak dapat membezakannya. Saya hanya tersenyum sambil mengangguk.

Kemudian dia bertanya lagi, “Awak masih muda, tapi sudah berkahwin?” “Dah gatal sangat nak kahwin ke?” Panel di sebelahnya pula dengan selamba menambah.

“Saya cuma ingin menghalalkan yang haram…” jawab saya tenang. Setelah beberapa soalan dikemukakan, akhirnya mereka berpuas hati dengan jawapan yang saya berikan. Sebelum akhir sesi temuduga, salah seorang ahli panel itu memuji saya. “Awak seorang yang matang… jawapan yang diberi memang bernas.” Saya hanya tersenyum puas.

Nah, pria-pria di luar sana. Tunggu apa lagi? Perkahwinan akan mematangkan kita lebih daripada usia yang sebenar. Paling penting, perkahwinan mampu membuka rezeki kita seluas-luasnya. Insya-ALLAH. Yakinlah! – Karya Bestari – (Fuad Hj Sam)