klpost

Mengapa kahwin awal? – (1)

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Meramaikan’ Anak

Kita biasa mendengar bagaimana datuk dan nenek kita dahulunya sering dikaitkan dengan mempunyai anak ramai. Mengapa orang dahulu mempunyai anak yang ramai? Pasti kita juga biasa mendengar kata-kata nakal; orang dahulu tidak ada benda lain yang hendak dibuat. Menjelang malam selepas isyak, mereka sudah pasang kelambu untuk masuk tidur. Tidak seperti kita sekarang. Embun jantan menitis pun tapi masih lagi di luar rumah. Jadi tidak hairanlah jika setiap keluarga mempunyai anak yang ramai. Lapan hingga sepuluh sudah dikira biasa. Kebanyakannya mencecah hingga 14 orang dan ada juga yang saya temui sehingga 19 orang.

Apabila difikirkan semula, antara faktor lain yang menyumbang anak ramai dalam kalangan datuk nenek kita ialah berkahwin pada usia muda. Mana tidaknya, anak-anak gadis zaman dahulu rata-ratanya berkahwin pada usia 14 tahun. 19 tahun itupun sudah dikira lewat. Malah, ada juga yang berkahwin seawal 11 tahun! Emak saya sendiri berkahwin pada usia 19 tahun.

Menurut cerita emak, ketika dia masih lagi ‘menakal’ dengan kawan-kawannya, ketika itulah bakal suaminya (ayah sayalah tu) meronda-ronda sekitar rumah dengan basikalnya mengintai-intai emak saya. Selepas beberapa lama kemudian, mereka pun berkahwin.

Tahap Kesuburan
Pasangan yang berkahwin muda dikatakan lebih subur (boleh rujuk yang pakar). Sistem reproduktif mereka langsung tidak terjejas dengan anasir-anasir yang merosakkannya. Apalagi dengan usia yang masih mentah, sampai ketikanya ada yang melahirkan dua orang anak setahun! Yalah… jika dahulu tiada makanan yang diawetkan dengan bahan-bahan kimia yang berbahaya. Sebaliknya sekarang, dalam rumah kita penuh dengan makanan yang diawet. Tidak mustahil jika ada yang mampu merosakkan janin atau langsung menyebabkan tidak boleh mengandung!

Dengan usia yang masih muda, mereka sudah belajar memegang tanggungjawab dengan kebanyakan suami bekerja mencari nafkah. Sementara isteri pula duduk di rumah menjadi suri rumah sepenuh masa melayan semua kehendak suami. Tidak hairanlah kebanyakan mereka yang hidup pada zaman nenek moyang dahulu mempunyai anak ramai.

Bayangkan… pada umur 20 tahun, emak kita sudah pun mempunyai tiga orang anak. Masuk umur 40 tahun anak-anaknya sudah menjadi 12 orang! Sudah boleh membentuk satu pasukan bola sepak. Tetapi, apa lebihnya anak ramai?

Jika umat Islam mempunyai anak yang ramai, ia menjadi kebanggaan Nabi kita Muhammad s.a.w kerana secara langsung telah meramaikan umatnya. Realiti hari ini, mereka yang mempunyai adik-beradik ramai yang datangnya dari keluarga besar, kelihatan mudah dari banyak segi.

Big Family!
Saya mempunyai pengalaman dengan sebuah keluarga besar yang mempunyai ahli seramai 11 orang. Saya namakannya sebagai keluarga F sahaja. Dari segi keyakinan diri, rata-rata semua ahli keluarganya mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Mereka berani ke depan, berani menyuarakan pendapat dan mudah mesra.

Apakah bilangan keluarga dengan umur mereka yang ‘dekat-dekat’ mempunyai kaitan dengan kemahiran bersosial dan EQ? Ini kerana, tidak cukup dengan pandai bergaul, mereka sudah mempunyai sumber pendapatan sendiri. Dari situ mereka dapat menggerakkan ekonomi melalui tabungan wajib setiap bulan. Hampir seperti pelaburan!

Baru-baru ini saya telah menghadiri majlis tahlil arwah ayah saudara. Dia pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan mengumpulkan dua daripada isterinya dalam sebuah rumah. Salah seorang isterinya gadis Jambi, Indonesia yang saya gelar tante. Apabila adik tante saya dari Jambi melihat bilangan saudara-mara yang datang menziarahi arwah dan mengadakan tahlil, dia agak kaget!

“Kalau di Jambi, kami tidak perlu jemput orang lain untuk tahlil. Cukup dengan adik-beradik dan saudara-mara. Kami di sana mempunyai keluarga yang besar-besar.” Bayangkan arwah bapa saudara saya yang mempunyai anak seramai sembilan orang. Itupun masih dikatakan tidak ramai!

Memang untung mempunyai keluarga yang besar, ini kerana semua pekerjaan mampu dibuat bersama. Kalau hendak mengadakan kenduri ataupun majlis perkahwinan, suasana akan ceria apabila semua ahli keluarga mengambil bahagian.

Bermula dengan abang sulung akan menyediakan makanan untuk jemputan, yang kedua menyiapkan khemah, si adik pula menguruskan orang untuk merewang dan yang lain-lain akan menguruskan sesi fotografi, mak andam, pelamin dan seumpamanya. Yang bagusnya, mereka bukan sekadar menguruskan tetapi bertanggungjawab menaja barang hantaran pengantin. Jadi, mempelai hanya akan goyang kaki dan benar-benar menjadi raja sehari!

Begitu hebatnya mempunyai adik-beradik yang ramai. Jadi, jangan takut jika dikurniakan anak yang ramai. Bahkan, bersyukurlah. Sesungguhnya, setiap kurniaan ALLAH itu adalah yang terbaik buat kita.

Ikut Jejak Langkah Ayah Atau Ibu
Ada juga keadaan seseorang itu akan berkahwin awal hanya semata-mata ibu bapanya dahulu pernah berkahwin pada usia muda. Keadaan akan menjadi lebih mudah apabila perkahwinan itu tidak perlu melalui pelbagai cabaran. Maka, seseorang anak yang ingin berkahwin awal akan menjadikan ibu bapanya sebagai ‘idola’.

Contoh yang paling dekat ialah anak lelaki saya sendiri. Ketika masih menuntut di luar negara, dia sudah pun menyampaikan hasrat untuk berumah tangga. Mungkin disebabkan masalah kewangan, menyebabkan dia terpaksa bekerja sebagai tukang cuci, maka dia terpaksa membatalkan hasrat dan keinginannya.

Cuba lihat, berapa ramai pelajar kita yang dihantar di negara maju seperti Amerika Syarikat, Canada, New Zealand dan UK yang terpaksa bekerja sambil belajar. Mungkin anak lelaki saya juga terpengaruh untuk mengumpul duit di sana. Namun dia bernasib baik kerana kesedarannya timbul apabila dia mula berfikir semula bahawa tugasnya adalah untuk belajar dan bukannya untuk bekerja.

Pada saya, jika dia sama seperti rakannya yang sibuk bekerja di sana sehingga ada yang sengaja meninggalkan kuliah, tentu dia juga sudah menyimpan sehingga US100 ribu dan berkahwin di sana. Tidak dapat dinafikan pelajar-pelajar yang bekerja di sana mampu menyimpan wang yang banyak. Namun terdapat juga yang mengabaikan pelajaran sehingga terpaksa mengulang semester kerana gagal dalam peperiksaan. – Karya Bestari – Oleh: Fuad Hj Sam

(Bersambung ……Episod 2)