SK

Melayu letak diri dalam fitnah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Kuala Lumpur,  May 27,2012. – SAYA tidak anti DAP dan saya berkawan dengan orang DAP sejak ia bernama PAP sebelum Singapura disuruh keluar dari Malaysia.

Lim Kit Siang yang menjadi pembantu Devan Nair selalu datang ke  Utusan Melayu dan saya kenal Lee Lam Thye yang baru jadi ADUN Selangor tahun 1969.

Tapi saya takjub mengapa ada orang  Melayu menyertai DAP? Begitu banyak parti politik Melayu maka ada juga orang Melayu yang menyertai DAP. Sejak DAP ditubuhkan ia diberi cap oleh UMNO dan orang Melayu yang tidak tahu politik bahawa ia parti  anti Melayu. Sehingga hari ini DAP berhempas pulas untuk keluar dari cap itu.

Saya  tidak menghalang orang Melayu menyertai DAP, tetapi menyertai DAP bagi orang Melayu meletak diri dalam keadaan fitnah. Orang Melayu melihatnya lain macam. Hampir sama keadaannya bagi orang Melayu melihat orang Melayu yang menyertai komunis.

Kerana itu saya takjub apabila Tunku Abdul Aziz, seorang yang benci rasuah dan menyintai ketelusan menyertai DAP. Mengapa dia yang mahu menyambung perjuangan bagi memerangi rasuah dan perkauman menyertai DAP sedang dia adalah orang Melayu yang berfikiran kelas dunia?

Saya hormati hak  dan kebebasanya memilih apa yang terbaik baginya bila dia menyertai DAP. Kalau saya tidak menyertai DAP, maka saya boleh halang orang Melayu yang hendak menyertai DAP.

Moga-moga ada baiknya rakyat dan negara bila mereka menyertai DAP dan ia juga diharap dapat memberi kebaikan kepada DAP dan mungkin boleh membantu DAP keluar dari fitnah anti Melayu yang menyelubunginya sepanjang ini.

Amat besar jasa dan kejayaannya kepada Malaysia dari segi politik kiranya dia atau mereka dapat menjadikan DAP yang anti rasuah dan pro kerajaan yang baik dan bersih sebagai parti berbilang kaum yang dapat diterima oleh orang Melayu dan dalam masa yang terdekat dalam menukar DAP tidak lagi dilihat sebagai parti orang Cina bahkan menjadi parti untuk semua kaum.

Daripada menjadi UMNO parti Melayu/Islam yang  di dalamnya bersarang rasuah, kroni dan perkauman sempit, maka eloklah Melayu berada dalam DAP bersih rasuah dan memperjuangkan keadilan dan mahu menegakkan kerajaan yang baik untuk rakyat.

Biar dengan sumbangan mereka orang Melayu berbangga menjadi orang DAP dan sekadar berada dalam DAP sebagai pengikut  dan penyokong tetapi menjadi pemimpin yang berwibawa dan disegani. Biar dia menjadi pemimpin DAP bukan kerana dia orang Melayu dan orang Islam, tetapi dia layak jadi pemimpin dan orang Cina dan India suka jadi penyokongnya sebagaimana mereka seronok berada di bawah Anwar Ibrahim yang memimpin PKR.

Banyak baiknya jika DAP itu dapat diletak di  arus perdana yang popular.

Jika hendak menyertai DAP sertailah dengan hati yang terbuka dan berfikiran serius, tegas dan istiqamah. Jangan jadi orang menyesal menyertai DAP. Anda boleh berbeza pandangan dengan pemimpin-pemimpin DAP yang lain atau ada pandangan anda ditolak oleh DAP.

Tetapi anda tidak boleh selepas berbeza  pandangan dalam perkara tertentu lalu keluar dan menyokong pula Perdana Menteri Najib yang imejnya amat ajaib dalam dan luar negeri. Hendak memberi peluang pula konon kepadanya melaksanakan program transformasinya.

Masa Tunku Aziz menyertai DAP, dia sudah tahu  siapa Najib. Najib jadi begitu bukan saja kerana pembawanya sendiri tetapi dipupuk sama oleh budaya cacamarba UMNO. Kerana dia tahu UMNO begitu, Najib begitu dan pemimpin serta penyokong UMNO sekaliannya begitu, maka dia memilih DAP. Dia tidak pilih PKR dan tidak pilih PAS.

Tentu dia juga  tahu DAP dan pemimpinnya macam mana sejak DAP wujud. Kit Siang dari muda hingga ke tua menyertai tunjuk perasaan atas berbagai sebab. DAP ikut menjadi  Bersih yang pertama. Ia menjayakan Bersih 2.0 hingga lahir tuntutan lapan perkara bagi mewujudkan sistem pilihanraya adil dan bersih.

Dalam mana-mana tunjuk perasaan biasalah benda-benda yang normal  itu terlanggar dan dilanggar dengan tujuan baik.Tunku Aziz tentu tahu DAP itu sejak belum disertainya. Dia diam terhadap Bersih sebelum Bersih 3.0. Bukan DAP saja yang menyokong Bersih 3.0. Ia disokong oleh Tok Guru Nik Aziz dan sekalian  ulama  dalam PAS. Malah ia disokong oleh Tengku Razaleigh.

Maka ganjillah bagi pemimpin DAP berstatus senator menentangnya. Ia jadi seperti ugly duckling. Sekurang-kurangnya jadilah seperti Tan Sri Lee Lam Thye apabila keluar dari DAP, dia belum memuji UMNO dan BN.  Dia belum memuji Dr. Mahathir  dan Najib.

Jangan jadi punca menyebabkan orang bukan Melayu tidak percaya kepada orang Melayu yang menyertai DAP.

Oleh: Subky Latif