klpost

Media Sosial adalah satu cabaran baru – Hishammuddin Tun Hussein

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melihat tindak-tanduk pembangkang yang gemar memanipulasi isu termasuklah dalam soal tema Hari Kemerdekaan ke-55 merupakan “template“ lama yang digunakan pada pilihan raya umum yang lalu.

Menurut beliau suasana serta landskap politik pembangkang hari ini banyak berkisar dan bersandarkan kepada isu dan bukannya mengetengahkan yang terbaik untuk dinikmati oleh rakyat.

“Bukan sahaja tema kemerdekaan… saya tengok suasana landskap politik hari ini untuk pembangkang bersandarkan isu….dalam kita mengetengahkan kepada rakyat agenda pembinaan melalui transformasi kerajanaan, politik dan juga ekonomi memang mudah untuk mengambil kesempatan suasana hari ini untuk mencari isu supaya ianya dapat timbulkan kemarahan, perpecahan, kebencian orang ramai kerana mereka rasa pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

“Ini adalah ‘ template’ yang sama apa yang dilakukan pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Cuma apa yang kita harapkan orang ramai tidak terikut-ikut dan beremosi. .mana yang tidak kena, tidak betul nak tegur kita boleh lakukannya tetapi janganlah sampai ianya jadi polemik. Isu jenayah indeksnya jadi polemik, slogan kita jadi polemik, lagu merdeka jadi polemik, Lee Chong Wei tak menang pun jadi polemik tetapi ini suasana politik yang saya cukup fahami.

“Namun untuk orang ramai khususnya golongan muda, saya nak nasihatkan kepada mereka, lihat kepada perkara-perkara yang dibangkitkan… .beberapa minggu kebelakangan ini serta beberapa bulan yang akan datang tentunya banyak berkisar kepada isu-isu sensasi untuk tujuan tertentu“ katanya dalam temubual eksklusif bersama UMNO-Online.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri seterusnya menambah pihaknya telah bersedia untuk berdepan dengan perkara-perkara sedemikian.

“Saya dah bagitau kepada agensi kita seperti Polis, Rela , Imigresen dan lain-lain bahawa mereka akan diserang dan serangan itu akan berkisar kepada isu tertentu dan melihat media sosial merupakan satu cabaran baru yang mana kita mesti juga hadapinya supaya tuduhan serta serangan ini dapat dijawab,“ katanya.

Hishammuddin seterusnya menyifatkan serangan dan tindakan pembangkang hari ini hanyalah untuk menidakkan kerajaan serta kepimpinan yang ada demi kepentingan politik mereka.

“Saya tengok seolah-olah serangan daripada mereka hari ini berkisar untuk menghantui dan menidakkan kepimpinan kerajaan serta individu yang berada dalam kerajaan tanpa ketengahkan kepada orang ramai agenda mereka sendiri dan ‘track record’ di negeri yang mereka perintah supaya mandat terus diberikan sekali lagi oleh rakyat.

“Saya harap orang ramai bila tiba masanya nanti mereka dapat nilai siapakah yang sebenarnya bermain politik, siapa yang hanya menanam kebencian dan perpecahan dan siapa yang sebenarnya ikhlas dan ada rekod untuk pada masa-masa akan datang“, katanya. -MediaUMNO