klpost

MCA akan Keluar dari Barisan Nasional

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Sekali lagi, Persatuan Cina Malaysia (MCA) mengugut akan meninggalkan perikatan Barisan Nasional (BN) sekiranya Umno membenarkan usul seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengenai pelaksanaan hukum hudud di Johor ke atas semua bangsa.

‘Bapa borek anak rintik’ begitulah yang sesuai diperkatakan apabila kali ini ugutan tersebut keluar dari mulut anak Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong

“MCA sangat jelas. Kami telah nyatakan dengan jelas bahawa jika hudud dilaksanakan, kami akan keluar daripada BN,” kata pengerusi Biro Karyawan Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong

Bahkan, Datuk Chua memperlekehkan kenyataan pemimpin Umno Johor yang mengusulkan perlaksanaan Hudud itu, sebagai tidak penting dan menyatakan ia hanyalah ulasan seorang Adun Umno, “bukan perdana menteri atau timbalannya”.

“Kenyataan yang penting ialah kenyataan yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan (Mursyidul Am) Nik Abdul Aziz (Nik Mat)…, mereka telah menyatakan sokongan mereka terhadap hukum hudud berulang kali,” kata Datuk Chua.

Sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, pernah mengugut Umno akan mengambil tindakan yang sama seperti kenyataan anaknya.

Pada kali ini, Chua Soi Lek sekali lagi menyatakan bahawa partinya tidak akan bersetuju sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud terhadap individu bukan Islam setelah usul Encik Ayub itu didedahkan.

“Adun Umno Johor itu telah kehabisan idea dan tidak waras kerana mengusulkan hudud di Johor, termasuk terhadap bukan Islam. MCA tentu akan membantah,” kata Dr Datuk Seri Chua melalui akaun laman rangkaian sosial, Twitter, beliau.

Ayub Rahmat ADUN Kemelah, membuat saranan itu semasa sidang perhimpunan Dewan Perundangan Johor pada 20 Jun lalu.

Beliau berkata beliau akan membantu golongan bukan Islam memahami pelaksanaan undang-undang hudud, sambil menuduh PAS gagal berbuat demikian.

Ayub Rahmat turut berkata beliau berharap dapat melihat negeri Johor menjadi negeri yang pertama melaksanakan hukum hudud sebenar, yang menurut beliau berbeza daripada undang-undang hudud yang ditafsir Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Menurut Encik Ayub, interpretasinya mengenai hukum hudud tidak akan membezakan sesiapa sahaja kerana penganut semua agama di Johor akan dikenakan hukuman yang sama. – Buletin Online