Tuesday , 16 September 2014

MB Selangor – Waspada Satu Demonstrasi Besar Besaran Selepas 31 Mei 2012 – Pemuda MIC Selangor

Professional valet service for all event
http://nusapark.com/

MEMORANDUM PENDIDIKAN PERCUMA DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI DIBAWAH NAUNGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR DARIPADA PERGERAKAN PEMUDA MIC SELANGOR MEMORANDUM

Kepada : YAB Dato Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) Daripada : Pergerakan Pemuda MIC Selangor MEMORANDUM PENDIDIKAN PERCUMA DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI DI BAWAH NAUNGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

1.0 PENDAHULUAN

Kerajaan negeri Selangor yang diwar-warkan sebagai sebuah kerajaan Prihatin kepada Rakyat telah mengariskan beberapa pembaharuan akan dilakukan oleh mereka apabila mengambil-alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri. Antara janji yang digariskan adalah Pendidikan Percuma. Sehubungan dengan isu ini, setelah 4 tahun tampuk pemerintahan kerajaan negeri diambil-alih tiada sebarang tanda-tanda tindakan yang menjurus kepada pembaruan untuk perlaksanaan Pendidikan Percuma kelihatan. Ini mendorong kami untuk menyerahkan memorandum ini, untuk menyeru Kerajaan dan Kepimpinan Negeri Selangor mengotakan janji-janji yang telah digariskan dalam manifesto Pillihanraya Ke-12 yang lalu.

2.0

USUL 1) MANSUHKAN YURAN PENGAJIAN DI UNISEL (UNIVERSITI SELANGOR) DAN KUIS (KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SELANGOR) Kerajaan negeri Selangor mewartakan bahawa ia sebagai Kerajaan Kebajikan, dimana pihak pentadbiranya menggelarkan diri mereka sebagai sebuah kerajaan yang prihatin. Rakyat dinegeri diberikan subsidi air, akan tetapi apakah pula keutamaan yang diberikn kepada aspek pengajian tinggi dinegeri ini. Selaras dengan Manifesto Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya yang ke-12 kami menyeru kerajaan negeri Selangor menunaikan janji dengan melaksanakan pendidikan percuma di semua institusi pengajian tinggi dibawah naungannya. Ini adalah kerana pendidikan tertier adalah satu titik perubahan yang besar dalam hidup seseorang, kerana pada peringkat inilah seseorang itu akan mula menjuruskan hal pendidikannya kepada satu arah khusus dimana perkara ini akan memberi impak besar dalam perjalanan karier hidupnya. Sehubungan dengan itu, aspek pengajian tinggi sepatutnya diberikan perhatin khusus oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri sepatutnya memberikan pendidikan percuma kepada institut pengajian tinggi dibawah pengurusanya seperti Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Universiti Selangor (UNISEL), lebih-lebih lagi kepada anak kelahiran Selangor. Apakah kerajaan Selangor enggan mewartakan pendidikan percuma ini kerana institut-institut ini merupakan satu sumber pendapatan kerajaan negeri yang lumayan?

2) MEMANSUHKAN YURAN ICT (WIFI) Kerajaan negeri seharusnya memansuhkan yuran ICT sebanyak RM100 dalam senarai pembayaran yuran semester pelajar. Ini adalah kerana sebelum ini kerajaan negeri telah menyatakan bahawa akan memberikan kemudahan WIFI secara percuma selaras dengan konsep kerajaan prihatin yang menjaga keperluan dan kebajikan rakyat. Kemudahan ICT seperti WIFI di kedua-dua kampus adalah amat kurang memuaskan dan teknologi serta kemudahan WIFI, makmal komputer, aplikasi perisian dan kakitangan akedemik subjek ICT adalah tidak memenuhi atau mampu menmpung keperluan semasa mahasiswa dan institusi tersebut. Keadaaan ini jauh sekali berbeza dengan perancangan dan fokus yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada pembangunan Bandar Berteknologi Tinggi – I-City, dimana kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan ICT dari skop perniagaan (I-City) berbanding dengan skop pendidikan (Institut Pengajian Tinggi).

3) MEMANSUHKAN YURAN KESIHATAN Kerajaan negeri telah dengan keperihatinanya berjanji untuk memberikan khidmat kesihatan percuma, malangnya janji tinggal janji apabila ia gagal untuk diserapkan kepada pentadbiran akar-umbi. Ini adalah kerana mahasiswa di institut pengajian tinggi dibawah naungannya masih dikenakan caj terhadap perkhidmatan kesihatan. Caj kesihatan seperti ini seharusnya dimansuhkan kerana ia tidak selaras dengan konsep kerajaan kebajikan. Perkara ini juga adalah amat bertentangan dengan manifesto PILIHANRAYA KE-12 daripada kerajaan negeri yang menjanjikan akan memberikan perkhidmatan kesihatan percuma kepada rakyatnya. Ini adalah kerana para mahasiswa yang masih belajar dan tidak mempunyai karier atau sumber kewangan yang stabil, dan sudah pastinya golongan ini tidak mampu menampung kos-kos perubatan seperti ini.

4) PEMBERIAN BIASISWA YANG LEBIH TELUS DAN TRANSPIRASI Kerajaan negeri Selangor seharusnya lebih transpirasi dan telus dalam melaksanakan pemberian biasiswa kepada para mahasiswa. Kerajaan negeri seharusnya mewar-warkan senarai penerima biasiswa daripada kerajaaan negeri untuk menggelakkan keraguan daripada rakyat negeri. Selain itu, nilai biasiswa kerajaan negeri adalah tidak munasabah dan kurang daripada jumlah yang diperlukan oleh mahasiswa untuk membuat pembayaran. Nilai wang biasiswa yang rendah ini menyebabkan para mahasiswa lebih cenderung untuk beranjak kepada pinjaman PTPTN atau lain-lain biasiswa pendidikan kerana nilai yang ditawarkan adalah lebih selesa untuk para mahasiswa menjalankan urusan pengajian. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri diseru untuk menaikkan nilai tawaran biasiswa untuk membantu menampung keperluan asas yuran pengajian para mahasiswa. Kami meminta agar senarai penerima tawaran biasiswa kerajaan negeri Selangor semenjak tahun 2008 hingga kini diwar-warkan secara terbuka di medi cetak dan elektronik.

5) TIADA KEMUDAHAN SUKAN ATAU REKREASI DI KAMPUS UNISEL SHAH ALAM Kerajaan negeri perlu memansuhkan yuran Sukan dan Rekreasi, ini adalah kerana para mahasiswa tidak menikmati sebarang kemudahan samada dari segi perkhidmatan atau fasiliti untuk Sukan dan Rekreasi di kampus tersebut. Padang yang sedia ada di kampus tersebut adalah amat tidak memuaskan, lebih-lebih padang tersebut penuh dengan onak-duri, serpihan kaca dan amat jarang diselengara. Kemudahan-kemudahan seperti ini adalah amat penting untuk menjuruskan kehidupan mahasiswa di kampus tersebut kepada gaya hidup yang lebih sihat. Dengan adanya kemudahan seperti ini, para mahasiswa dapat menjalankan aktiviti-aktivi sihat, seterusnya dapat menjana produktitvi yang lebih positif.

6) KEMUDAHAN PENGANGKUTAN UNTUK TUJUAN IBADAH MAHASISWA Para mahasiswa sewajarnya diberi peluang dan kebebasan untuk mengamalkan adat-resam dan agama mereka. Para mahasiswa harus diberi galakkan dan sokongan dalam membantu mereka mengerjakan ibadah dan upacara keagaman masing-masing. Jesteru itu, sokongan seperti bantuan pengangkutan harus diberikan untuk meringankan beban mereka untuk ke institusi keagamaan. Sebagai contohnya, di institut Pengajian Tinggi Awam dan Kem-Kem PLKN, disediakan bas atau pengangkutan untuk para mahasiswa atau pelatih untuk tujuan tersebut.

7) KEMUDAHAN MAKANAN SAYURAN (VEGETARIAN) UNTUK PENGAMAL MAKANAN SAYURAN (VEGETARIAN) Negara kita merupakan satu negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum. Kerajaan negeri seharusnya peka terhadap keperluan para mahasiswa yang terdiri daripada latar-belakang yang berbilang kaum. Institusi pengajian tinggi dibawah naungan kerajaan negeri sepatutnya peka dalam isu dan keperluan para mahasiswa seperti aspek pengamal pemakanan sayuran (vegetarian). Institusi pengajian tinggi seperti ini, seharusnya menyediakan kantin atau café yang menghidangkan makanan sayuran (vegetarian) untuk kemudahan mahasiswa gologan vegetarian tersebut.

8) SUBJEK ELEKTIF BAHASA TAMIL Dengan adanya komposisi pelajar berbangsa India yang teramai diantara kesemua institut pengajian tinggi di negara kita, institut pengajian tinggi di bawah naungan kerajaan negeri Selangor – Unisel, seharusya menyediakan subjek elektif Bahasa Tamil untuk kemudahan mahsiswa menjalankan pengajian dalam bidang tersebut. Kerajaan negeri juga harus peka dalam kepentingan dalam memberi penekanan terhadap memperkasakan bahasa-bahasa majoritI di negara kita. Selaras dengan kerajaan yang prihatin terhadap kepentingan memartabatkan aspek-aspek kebudayaan terutamanya bahasa, kami menyeru agar kerajaan negeri memberi keutamaan dalam memartabatkan bahasa Tamil kerana golangan India mempunyai majoriti yang ramai di Selangor berbanding di negeri-negeri yang lain.

9) KEMUDAHAN PERSATUAN DAN AKTIVITI PELAJAR Golongan mahasiswa adalah merupakan satu golongan yang dapat menyumbang kepada produktiviti negara. Selaras dengan itu, golongan ini kebiasaannya amat aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sihat dan membina seperti berpersatuan. Menjurus kepada perkara ini, pihak intitusi pengajian tinggi dibawah naungan kerajaan negeri seharusnya peka terhadap keperluan ini dan harus menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk kemudahan para mahasiswa tersebut. Keadaan ini, bertentangan dengan keadaan di institusi awam dimana kemudahan yang disediakan adalah amat mencukupi dan mencapai tahap dan kehendak pelajar.

10) KUALITI AKADEMIK Kualiti akademik adalah satu aspek yang amat penting dalam pendidikan tertier. Selain daripada beberapa faktor lain yang dapat menentukan kualiti akedemik sesuatu institusi pengajian tersebut, aspek tenaga pengajar adalah salah satu aspek yang utama. Rata-rata tenaga pengajar(pensyarah/tutor) di institusi pengajian tinggi di bawah naungan kerajaan negeri adalah terdiri daripada golongan pengajar yang kurang berkelayakkan. Sebagai contohnya, seorang tenaga pengajar lepasan ijazah sarjana muda diberi kebenaran untuk mengajar bagi tahap ijazah sarjana muda. Perkara ini akan menyebabkan kualiti pelajaran yang disampaikan adalah tidak efisien kerana individu tersebut berkemungkinan besar tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi.

3.0 PENUTUP

Sehubungan dengan perkara dan usul-usul yang dikemukan diatas, kami menyeru agar pihak kerajaan negeri Selangor mengotakan janji-janji yang telah diberikan dalam manifesto Pilihanraya Ke-12 yang lalu. Dengan ini kami berharap pihak kerajaan negeri Selangor dapat memberikan jawapan kepada segala persoalan dan permintaan yang diusulkan kami sebelum atau pada 31 Mei 2012. Pemuda MIC Selangor akan mengadakan satu demonstrasi besar besaran jika MB Selangor gagal mengambil tindakan segera.

SHANKER RAJ AYANGER Ketua, Pergerakkan Pemuda MIC Selangor

Scroll To Top