klpost

MB Selangor menggunakan wang dari Universiti Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Bhd

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

ISU Talam ini penulis lihat besar, sangat besar. Bahkan kalau nak dihujahkan disini, ia 4 kali ganda lebih mahal dari pinjaman RM 250 juta yang dianugerahkan kerajaan BN kepada National Fedlot Corporation (NFC) yang menggegarkan negara itu.

Ya, 4 kali lebih mahal, RM 1 billion!!

Sumber memaklumkan penulis bahawa RM42 juta dari perbezaan harga tanah berbanding pasaran yang didedahkan oleh Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong kelmarin hanyalah tips of the iceberg – sebahagian kecil kata orang.

Khabarnya, dalam proses menyelamatkan Talam, kerajaan Selangor telah menggunakan wang dari Universiti Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Bhd berjumlah RM277 juta, dan SAP Holdings Bh, anak syarikat Kumpulan Hartanah Selangor sebanyak RM 115 juta untuk dipinjamkan kepada Talam.

Kesemuanya bernilai RM 392 juta wang rakyat Selangor digunakan untuk menyelamatkan Talam.

Sehingga sekarang, ketiga-tiga anak syarikat kerajaan negeri ini dikatakan masih belum menerima satu sen pun pembayaran semula dari Talam setelah lebih dari dua tahun. Talam pun sudah berubah nama kepada Trinity Corporation Bhd.

Semua itu pun sebenarnya masih kecil kerana masih ada lagi urus niaga pembelian tanah milik Talam oleh kerajaan negeri bernilai RM 676 juta yang menunggu giliran untuk didedahkan!!

Jelasnya, semua ini menuntut Menteri Besar Selangor (yang juga Exco bertanggungjawab dalam Kewangan), Tan Sri Khalid Ibrahim tampil menjelaskan perkara sebenar yang berlaku setelah gesaan laman ini supaya kes ini diperdengar di peringkat SELCAT seakan tidak dipedulikan.

TS Khalid tidak boleh mengelak kerana kerajaan Selangor telah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2010 yang bertujuan mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi peluang kepada setiap individu untuk akses kepada maklumat yang dibuat setiap jabatan Kerajaan Negeri.

Ayat digunakan di atas bagi menggambarkan tujuan perlaksanaan enakmen nampaknya begitu cantik sekali, menzahirkan dan apa segala tapi rakyat sedang bertanya, dimana ketegasannya?

TS Khalid memberikan alasan peguam beliau mengarahkan agar beliau tidak bercakap mengenai hal ini. Tapi bagaimana pula Setiausaha Publisiti DAP dikatakan akan tampil dengan penjelasan, khabarnya sehingga boleh ‘membogelkan’ MCA dan Chua Tee Yong?

Kenapa Tony boleh, TS Khalid tidak boleh? Isunya itu juga, Talam.

Dan rakyat Selangor masih belum lupa dengan janji TS Khalid untuk menyediakan ‘Kertas Putih’ bagi menjelaskan isu Talam ini. Atau TS Khalid fikir rakyat Selangor sudah lupa? Janji Kertas Putih ini telah dibuat pada 2010 lagi, sehingga sekarang kenapa masih belum disiapkan dan hanya dijanji dalam pembentangan bajet 2013 akan datang?

Apa Kaitan Kerajaan Selangor Dengan Individu Ini?

Dengan masa yang masih panjang, apakah kesannya terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan Selangor sekarang?

Penulis tidak mahu mengatakan ini tapi terpaksa, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mempunyai segala yang terbaik dari segi ketelusan dalam menjalankan pentadbiran kerajaan negeri terutama dari segi perundangan.

Sebagai negeri pertama yang mempunyai Enakmen Kebebasan Maklumat, Selangor sepatutnya lebih kehadapan dari negeri-negeri lain, terutama yang diperintah BN dari segi ketelusan dalam menguruskan wang rakyat.

Tapi yang nampak jelas disini, masing-masing cuba menyelamatkan diri masing-masing, atas alasan arahan peguam. Apa semuanya ini? – Suara Pakatan Rakyat