klpost4

MB Kedah: Belum menang, tapi dah bertekak siapa yang nak jadi PM

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

ALOR SETAR  –  Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) perlu memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terlebih dahulu sebelum  membincangkan soal siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, keutamaan masa kini ialah memastikan kemenangan PR menawan Putrajaya dan membentuk Kerajaan Pusat  untuk memastikan semua agenda yang dirancang menjadi kenyataan.

“Biar menang dulu, baru kita bincang siapa yang layak jadi PM. Kenapa perlu bangkitkan perkara yang tidak menjadi kenyataan atau keutamaan.

“Persefahaman yang dipersertujui ialah parti yang menang majoriti biarlah mereka yang pilih calon untuk menjadi PM,” katanya kepada media selepas membentangkan Bajet 2013 di Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini petang tadi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam, yang menyebut akan menyokong pelantikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 baru-baru ini, seorang perwakilan Dewan Ulama Pas dan Dewan Muslimat mencadangkan agar presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipilih menjadi Perdana Menteri.

Jumaat lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kota Bharu berkata, PR bersetuju untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika PR membentuk Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, ahli Pas tidak bersetuju apabila kebanyakan perwakilan yang berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Kota Bharu beberapa hari lalu, membantah cadangan itu sebaliknya mencadangkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon yang sesuai.

Azizan berkata, senario politik di Kedah boleh menjadi contoh untuk membentuk kerajaan atau kepimpinan negeri apabila parti yang menang majoriti diberi hak membentuk Kerajaan Negeri.

“Dalam pilihan raya umum 2008, Pas menang 16 kerusi di Kedah manakala PKR mendapat lima kerusi (sekarang tinggal tiga) dan satu kerusi DAP. Tiada siapa pun yang berebut-rebut untuk lantik Menteri Besar kerana ia adalah kuasa atau hak kepada parti yang dapat banyak kerusi.

“Jadi, ia mungkin boleh jadi ikutan. Kita tak kira sangat pasal jawatan ni. Saya pun tak pernah mimpi nak jadi Menteri Besar hinggalah keputusan pilihan raya diumumkan pada malam berkenaan,” katanya.

Menurutnya, terpulang  kepada Jawatankuasa Pas Pusat untuk menentukan calon Perdana Menteri jika PR berkuasa kelak sama ada mencalonkan Abdul Hadi atau menyokong calon yang dicadangkan parti lain.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata secara dasarnya kerajaan Pulau Pinang telah bersetuju untuk membayar harga bekalan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada), manakala kerajaan Perlis masih belum memberi kata putus.

“Perlis dahulu, Shahidan (bekas Menteri Besar) tidak mahu bayar sebab dia kata air tu hak Tuhan, tapi menteri besar baru ni tak tau la pula (sama ada nak bayar atau tidak),” katanya dipetik Bernama.

Ketika membentangkan belanjawan petang tadi, Azizan berkata kutipan hasil negeri pada 2013 dijangka meningkat daripada RM550 juta (pada 2012) kepada RM640 juta.

Beliau berkata jumlah peningkatan sebanyak RM105.6 juta bakal disumbang hasil premium tanah di Langkawi, Alor Setar dan Bandar Baharu serta bayaran jualan air mentah daripada kerajaan Pulau Pinang.