klpost

Mayat wanita hilang ditemui

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Georgetown
– Seorang wanita yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian hujan lebat di Jalan Paya Terubong, di sini semalam, ditemui maut, pagi tadi.

Jenazah Noor Afidah Yajunas, 30, ditemui pada jam 7.49 pagi tadi berhampiran sungai di kawasan Bukit Jambul selepas hampir 24 jam anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian jam 8 pagi semalam, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Spacy, dipercayai terjatuh selepas motosikalnya terbabas dan dihanyutkan ke dalam sungai berhampiran.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abdul Fataf Amdan, berkata pihaknya difahamkan, air di kawasan itu terlalu deras ketika kejadian menyebabkan mangsa dihanyutkan ke dalam sungai.

“Usaha orang ramai membantu mangsa juga gagal. Bomba juga terpaksa memperluaskan kawasan operasi pencarian lebih empat kilometer serta melakukan pemantauan di enam zon,” katanya.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 9.16 pagi ini dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seramai 559 mangsa banjir masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata semua mangsa kini ditempat di tujuh pusat pemindahan.

“Tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Daerah Barat Daya, iaitu masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pinang, Balik Pulau, yang menempatkan 195 mangsa; Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Jalan Baru, Balik Pulau (22) dan Dewan Perda, Teluk Kumbar (150).

“Bagaimanapun, hanya satu pusat pemindahan sementara dibuka di Daerah Timur Laut, iaitu di Sekolah Menengah Heng Ee, di sini, yang menempatkan seramai 14 mangsa.

“Seramai 12 mangsa ditempatkan di Dewan Masjid Al Taquwa, Butterworth; Dewan Kampung Kota Permatang Pasir, Perda (31) dan Dewan Serba Guna Jawi, Nibong Tebal (175),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. – BH Online