klpost

Mayat pelajar ditemui terapung, mereput

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Mayat seorang pelajar lelaki dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan mereput dan terapung di Sungai Klau, Raub petang semalam.

Mangsa, D Yugendran, 17, dari Simpang Kallang, Raub sebelum ini dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya pada 8 September lalu.

Ketua Polis daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemui selepas polis menahan seorang suspek berusia 21 tahun Isnin lalu.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang dikatakan mengekori mangsa selepas terserempak dengannya dan terus menyerang dan memukulnya selepas mendapati mangsa hanya berseorangan.

“Mangsa sempat melarikan diri ke tebing Sungai Kallang dan suspek sekali lagi memukul mangsa menggunakan kayu sehingga tidak sedarkan diri sebelum ditolak ke dalam sungai.

“Kita percaya mangsa masih lagi hidup dan hanya pengsan ketika suspek menolaknya ke dalam sungai itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zahari berkata, suspek menunjukkan lokasi dia menolak suspek dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Raub menjalankan operasi mencari dan mayat mangsa ditemui jam 3.15 petang kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, soal siasat mendapati suspek bertindak demikian berikutan dendam lama malah mangsa didakwa pernah beberapa kali memukul suspek sebelum ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat hari ini.

“Hasil semakan kita mendapati suspek sebelum ini mempunyai dua rekod membabitkan kesalahan dadah dan pernah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Harian Metro