klpost

Mayat OKU kebiruan tergelimpang,lelaki terperanjat

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

ALOR GAJAH  –  Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui mati di belakang sebuah resort di Pantai Tanjung Dahan, Kuala Linggi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, mayat S Rosze Shamsuddin, 40, ditemui seorang kakitangan perkapalan yang sedang bersenam di tepi pantai berkenaan.

Mayat mangsa yang juga penduduk tempatan ditemui dalam keadaan tertiarap manakala badannya kebiruan dipercayai akibat terkena sawan babi.

Sumber berkata, mayat ditemui seorang lelaki yang menyusur pantai berkenaan selepas melihat tubuh manusia terdampar di tepi pantai berkenaan.

“Lelaki itu yang terkejut selepas menyedari perkara itu mendekati dan cuba mengejutkan mangsa namun tiada sebarang tindak balas.

“Kakitangan perkapalan itu kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Sungai Baru sejurus kemudian,” katanya. Menurut sumber itu, mangsa dipercayai diserang sawan babi ketika menyusur di tepi pantai berkenaan dan pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan pada anggota badannya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Masari Musa, 69, berkata, malam sebelum kejadian, mangsa keluar mendengar ceramah di sebuah resort dan menyangka dia sudah pulang dan tidur di rumah.

“Pagi tadi (semalam) saya sangka Rosze tidur di biliknya sebelum didatangi penduduk kampung memaklumkan mayat anak saudara saya ditemui terdampar di pantaii.

“Arwah anak sulung daripada tiga beradik dan cacat di bahagian mukanya sejak dilahirkan serta tinggal sendirian di rumah pusaka keluarganya selepas kedua ibu bapanya bercerai,” katanya yang turut memberitahu arwah menghidap penyakit sawan babi sejak kecil.

Menurutnya, arwah hanya akan keluar rumah sekiranya ada sedikit duit belanja hasil bantuan kebajikan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah.

Masari berkata, menjadi kebiasaan arwah akan bersantai di tepi pantai berdekatan seorang diri namun sehari sebelum kejadian dia kelihatan sugul dan lebih banyak termenung di serambi rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan dan berkata tiada unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat. – Metro