klpost4

Mayat lelaki bogel terdampar ditemui oleh kaki pancing

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KOTA TINGGI  –  Kehadiran sekumpulan pengunjung di Pantai Che Minah, Bandar Penawar, di sini untuk memancing dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki terdampar tanpa pakaian kira-kira jam 12.45 tengah hari kelmarin.

Mayat lelaki berusia sekitar 30-an itu ditemui di kawasan kira-kira dua batu dari pantai awam Desaru berhampiran sebuah padang golf.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan penemuan mayat tersebut berkata, salah seorang pemancing telah menghubungi polis sebelum sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, hasil laporan bedah siasat mendapati mayat itu mempunyai kesan suntikan BCG di lengannya dipercayai warga tempatan dan tiada sebarang kecacatan. Mayat terbabit dipercayai lemas dalam tempoh 24 jam.

“Mangsa juga dipercayai berketurunan Melayu berkulit hitam manis dan mempunyai ketinggian 169 sentimeter, berambut pendek serta berbadan gempal anggaran berat 74 kilogram.

“Mayat tersebut dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat dan diminta mana-mana pihak yang kehilangan waris boleh membuat pengecaman di Unit Forensik HKT,” katanya.  –  SH