SK

Mangsa ragut maut

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


KOTA BHARU, June 2, 2012: Seorang warga tua yang terjatuh daripada motosikal akibat diragut seorang lelaki Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Zaharah Zakaria (gambar kecil), 63, dari Kampung Endong, Pasir Mas, meninggal dunia kira-kira jam 6.45 pagi semalam, akibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh motosikal apabila begnya diragut lelaki terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Deputi Superintendan Tengku Azman Tengku Abdullah, berkata dalam kejadian jam 12.30 tengah hari kelmarin, mangsa membonceng motosikal ditunggang adiknya, Faridah, 43.

Katanya, kedua-dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membeli barang keperluan untuk membuat kuih di pasar Pokok Endong, Pasir Mas, sebelum kejadian ragut itu.

“Kira-kira satu kilometer dari rumahnya ketika berada di Simpang Tiga Giat Mara, Pasir Mas, seorang lelaki menunggang motosikal EX5 merah dari arah Pasir Mas ke Kubang Panjang, tiba-tiba meragut beg mangsa yang disandang pada bahu kanan.

“Akibatnya, mangsa yang jatuh motosikal mengalami kecederaan parah di kepala, manakala adiknya hanya mengalami cedera ringan pada bahagian kaki,” katanya di sini, semalam.

Tengku Azman berkata, mangsa dibawa orang ramai menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan terpaksa dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas sebelum dirujuk ke HUSM akibat kecederaan parah dan meninggal dunia awal pagi semalam.
“Polis sedang menyiasat kejadian itu dan sedang mengesan suspek terbabit. Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Nariha Mamat, 38, berkata kali terakhir beliau berjumpa arwah ibunya Ahad lalu ketika datang ke rumah untuk melihat cucunya.