klpost4

Manchaster United semakin selesa di persada liga

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

MANCHESTER  –  Javier Hernandez muncul wira Manchester United untuk memastikan kelab itu kukuh di persada Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan gol pada minit ke-90 bagi mengesahkan kemenangan 4-3 ke atas Newcastle ketika pesaing terdekat, Manchester City kecundang di tangan Sunderland.

Pada pertengahan musim aksi liga berkenaan awal pagi tadi, United terpaksa bangkit selepas ketinggalan tiga kali pada perlawanan tegang dan penuh insiden di Old Trafford sebelum Hernandez membenam gol kemenangan tuan rumah.

“Sekali lagi kami buktikan keberanian kami, tidak sekali-kali menyerah selepas ketinggalan tiga kali dan bangkit sebanyak tiga kali dan akhirnya berhak untuk menang perlawanan ini.

“Tidak perlu fikir di mana kami berada ketika ini, ini adalah prestasi kejohanan,” kata Pengurus United, Alex Ferguson.

Pada ketika United bangkit selepas seri ketika kunjungan di Swansea Ahad lalu, City yang meraih tiga kemenangan berturut-turut pula tersekat apabila bekas pemain sayapnya, Adam Johnson mencuri tumpuan untuk membawa Sunderland menang 1-0 ke atas penyandang juara berkenaan.

Chelsea pula hanya empat mata di belakang City dengan satu perlawanan dalam tangan selepas Juan Mata memastikan kemenangan milik mereka ketika menundukkan Norwich 1-0.

Sementara itu, Tottenham, Everton dan West Bromwich Albion masing-masing dua mata di belakang Chelsea.  –  AP