klpost

Malang tidak berbau – Ibu maut merempuh motosikal anak

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

MELAKA – Hasrat seorang peniaga pasar tani untuk menggunakan motosikal tiga roda yang disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak kesampaian apabila wanita itu maut dalam kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5 petang, mangsa Sapiah Md. Said (gambar kecil), 41, yang berniaga di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hang Tuah meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda EX5 yang ditungganginya hilang kawalan lalu terjatuh.

Motosikal tersebut kemudian terseret beberapa meter sebelum merempuh motosikal tiga roda yang baru dua jam diterima daripada FAMA dan ditunggangi anaknya, Muhamad Ikram Laksamana, 18. Akibat kejadian tersebut, Ikram cedera ringan.

Ikram berkata, sebelum kemalangan, ibunya menunggang motosikal lain manakala dia menunggang motosikal tiga roda dari Ayer Keroh.

“Semasa melalui tempat kejadian, saya yang menunggang motosikal mendahului ibu terdengar satu bunyi dentuman.

“Saya toleh ke belakang dan terperanjat melihat ibu jatuh tertiarap sebelum motosikal ibu merempuh motosikal saya,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Klebang di sini semalam.

Ikram memberitahu, nasib baik motosikal ditungganginya tidak terbalik dan dia hanya cedera ringan akibat rempuhan motosikal ibunya yang terbabas.

“Saya kemudian mendapatkan ibu yang tertiarap di tepi pembahagi jalan dan ketika itu ibu masih bernyawa,” cerita remaja itu.

– Kosmo