klpost

Majlis Syura Ulama PAS tunduk kepada UMNO

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

BANYAK pihak kecewa dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat malam semalam untuk mengekalkan ‘dalang kerajaan perpaduan dengan UMNO’, Nasharudin Mat Isa sebagai ahli PAS. Keputusan ini jelas tidak mengikut kehendak ahli PAS diperingkat akar umbi yang mahu melihat Nasharudin di pecat.

Setakat yang penulis dimaklumkan, sekurang-kurangnya 2 kumpulan besar dalam PAS yang masing-masing diketuai Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dan Datuk Husam Musa, telah menyatakan kekecewan masing-masing berhubung dengan keputusan tersebut.

Mereka menyifatkan kegagalan Majlis Syura PAS sebagai badan tertinggi parti tersebut mengambil tindakan terhadap Nasharudin, hanya menyerlahkan lagi ketidakupayaan badan itu mengawal tingkah laku ahli-ahli PAS yang bercanggah dengan perjuangan utama parti itu sekarang – negara berkebajikan.

Tidak kurang juga yang melihat Majlis Syura Ulama seakan tunduk kepada UMNO. Sebab kita tahu UMNO saja yang mahu Nasharudin kekal dalam PAS kerana UMNO tahu hanya Nasharudin yang berupaya menjahanamkan PAS dari dalam!!

Kalau kita imbas kembali, apa yang ‘kurang’ (dibaca dalam notasi berbeza) dengan semua jenis kesalahan yang telah dilakukan Nasharudin? Bekerjasama dengan musuh, berhubung baik dengan musuh, mengadakan pertemuan sulit di luar negara dengan pemimpin parti musuh dan gagal memaklumkan parti mengenainya, serta banyak lagi.

Bukti ada berlambak–lambak, tapi pelik kenapa Majlis Syura tidak merasa curiga, malah lebih teruk lagi tidak membincangkan langsung pengkhianatan secara terang-terangan yang dilakukan bekas Timbalan Presiden PAS ini.

Penulis melihat kegagalan Majlis Syura Ulama ini akan menyebabkan perpecahan yang serius di dalam Pakatan Rakyat, lebih lagi antara DAP dan PAS.

Sumber dari DAP juga memaklumkan kepada penulis bahawa kepimpinan pusat DAP merasa kecewa kerana kegagalan mengambil tindakan ke atas Nasharudin menunjukkan parti tersebut tidak menghormati Karpal Singh sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP. Malah, ada juga yang membandingkan tindakan yang diambil oleh PAS ke atas Datuk Dr. Hasan Ali kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Hasan Ali disingkirkan dari PAS kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sewajarnya dikeluarkan ke atas Anwar sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat, sedangkan Nasharudin tidak dikenakan apa-apa tindakan, malah kes mengenainya tidak dibincangkan langsung oleh Majlis Syura Ulama walaupun dia mengkritik keras Karpal.

Sehubungan dengan itu, penulis menyeru kepada Majlis Syura Ulama PAS supaya meneliti semula keputusan untuk tidak memecat Nasharudin dari parti tersebut. Semua ini perlu dilakukan demi menjaga perpaduan erat yang terjalin antara PKR, DAP dan PAS sekarang.

Takkanlah kerana Nasharudin seorang, PAS lebih sanggup menggadaikan keuntungan yang lebih besar yang mungkin boleh diperolehi dari Pakatan Rakyat kot. – Suara Pakatan Rakyat