klpost

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membekukan kedudukan Datuk Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF)

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

by Viktor Wong

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membekukan kedudukan Datuk Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dan keahliannya dalam KPF, koperasi tersebut kini bergerak tanpa seorang pengerusi, walaupun ianya telah mengadakan mesyuaratnya baru-baru ini.

Perintah mahkamah tersebut dikeluarkan berdasarkan Undang-undang Tubuh KPF yang mensyaratkan keahlian KPF adalah hanya terbuka kepada para peneroka Felda, ahli-ahli keluarga peneroka Felda dan para pekerja Felda sahaja. Datuk Isa ataupun keluarganya tidak pernah pun menjadi sebahagian daripada rumpun Felda selama ini dan oleh itu beliau tidak mempunyai sebarang hak untuk menjawat apa-apa jawatan ataupun kedudukan di dalam KPF.

Bagaimana Isa dapat menjadi “ahli” KPF?

Persoalannya adalah, bagaimana Datuk Isa dapat menyeludup masuk ke dalam KPF dan menjadi ahli, seterusnya menjawat jawatan sebagai pengerusi koperasi tersebut?

Di dalam Undang-undang Tubuh KPF, adalah jelas, untuk menjadi ahli KPF seseorang itu hendaklah daripada kalangan para peneroka Felda, ahli-ahli keluarga peneroka Felda ataupun seorang pekerja ladang Felda sedangkan Datuk Isa itu tidak pernah pun menjadi sebahagian daripada rumpun Felda tersebut. Jadi bagaimana Datuk Isa dapat menyeludup masuk ke dalam KPF tanpa disedari oleh orang ramai?

Malah, apabila aduan dikemukakan oleh sekumpulan 16 orang peneroka Felda terhadap kedudukan Datuk Isa yang tidak sah itu kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ianya ditolak mentah-mentah oleh para pegawai-pegawai SKM sebagai “tidak ada isu”. Malah presiden Umno Datuk Najib Razak turut menyelar tindakan 16 orang peneroka Felda itu dan mengecapkan mereka sebagai “pengkhianat”.

Ini menunjukkan bahawa para pegawai SKM itu sememangnya sama ada cacat penglihatan kerana tidak nampak apa yang tertera di dalam Undang-undang Tubuh KPF ataupun hanya sengaja menutup sebelah mata oleh kerana sipenjawat pengerusi KPF itu adalah orang kuat Umno. Alasan para pegawai SKM itu yang menyatakan bahawa tidak ada peruntukan khas untuk menyingkirkan Datuk Isa itu telah menjadi suatu bahan ketawa umum.

Selain daripada kecacatan pada pihak SKM, kecacatan itu turut disengajakan di pihak lembaga pengarah KPF untuk memberi laluan kepada Datuk Isa menjadi pengerusi KPF mungkin kerana takut dengan kuasa dan pengaruh pemimpin Umno itu terhadap koperasi tersebut.

Datuk Isa adalah bekas naib-presiden Umno yang pernah digantung keahliannya disebabkan oleh karenah politik wangnya di pemilihan parti yang lalu dan beliau kini adalah seorang ahli dewan undangan negeri dan ahli majlis tertinggi Umno.

Alasan tak masuk akal

Apabila sekumpulan 16 orang peneroka Felda itu mengajukan aduan mereka kepada SKM terhadap kedudukan Datuk Isa yang tidak sah di dalam KPF, para pegawai SKM pula memberikan alasan bahawa tidak ada peruntukan khas di dalam Undang-undang Tubuh KPF yang boleh menyingkirkan beliau daripada jawatan pengerusi koperasi tersebut.

Apakah “peruntukan khas” yang dimaksudkan oleh SKM itu? Undang-undang Tubuh KPF sememangnya jelas menyatakan bahawa Datuk Isa bukannya merupakan seorang ahli dan pengerusi KPF yang sah kerana beliau tidak layak menjadi ahli KPF pada mulanya.

Keperluan “peruntukan khas” seperti yang dikatakan oleh para pegawai SKM itu adalah tidak masuk akal, bodoh dan alasan tersebut sengaja dibuat, agar 16 orang peneroka Felda itu akan menjadi keliru dan seterusnya menerima ketetapan tersebut.

Akan tetapi, 16 orang peneroka Felda itu tidak “bodoh” seperti yang disangka oleh SKM, malah terus membawa isu tersebut ke mahkamah untuk dituntut kembali hak-hak mereka.

Sudah menjadi konspirasi pada mulanya

Sebenarnya, sudah menjadi jelas bahawa ada konspirasi di pihak Umno untuk mengambil-alih KPF selama ini. KPF adalah pemegang berkepentingan di dalam Felda Global Ventures Berhad (FGVB) yang kini telah disenaraikan di dalam Bursa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk memperoleh saham-saham FGVB melalui penyenaraian, Umno perlu menguasai sepenuhnya jalan keluar masuk di dalam KPF agar semua ahli-ahli koperasi tersebut dapat diangkat menyokong usaha tersebut. Dengan itu, timbul komplot untuk menyeludup Datuk Isa masuk ke dalam KPF untuk diangkat menjadi pengerusi KPF bagi mempermudahkan komplot tersebut.

Dan apabila sebahagian ahli-ahli KPF mendapat tahu dan membantah komplot tersebut, Umno pula terpaksa mengeluarkan wang berbilion Ringgit daripada Perbendaharaan untuk dihadiahkan RM15,000 kepada setiap keluarga Felda sebagai usaha untuk menyogok dan memaksa mereka mengikut kehendak Umno bagi memastikan penyenaraian FGVB berjaya.

Ini jelas merupakan satu bentuk rasuah, ancaman dan peras ugut dan ianya sedang berlaku. Tetapi apa yang para peneroka Felda ini berdaya? Bolehkah mereka melawan balik? Apakah yang akan terjadi jika sekiranya mereka bangkit melawan?

Bagi mencapai tujuan politik dan kekuasaannya, Umno sanggup berbuat apa sahaja walaupun perbuatan tersebut adalah terkutuk, keji dan bertentangan dengan ugama. Selepas Felda, Umno mungkin akan menghalakan keris dan tombaknya kepada Felcra pula.

Di harap para peneroka Felcra tidak akan terpedaya dengan perangkap Umno ini. -viktorwong-socialaffairs