klpost

Mahfuz hadir di IPK Kedah berhubung isu menghina Sultan Pahang

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Alor Setar
– Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam satu ceramah politik.

Mahfuz tiba bersama peguamnya Mohd Fikri Abd Rahman bersama beberapa penyokong pada pukul 10.15 pagi sebelum memasuki perkarangan IPK Kedah pada pukul 10.30 pagi.

Terdahulu, Mahfuz menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung laporan polis yang telah dibuat di Pahang.

“Saya hadir bagi memberi penjelasan sewajarnya dan di sini ingin dinyatakan bahawa saya tidak mempunyai niat untuk menimbulkan kemurkaan pihak Istana kerana kenyataan yang dibuat sebelum ini bukan bertujuan untuk menghina sesiapa.

“Sekiranya kenyataan itu menyinggung pihak Istana Pahang, saya mohon maaf. Tetapi kalau dengar semula ucapan saya, apa yang saya timbulkan ialah isu faktor umur bukan menjadi penghalang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin atau ketua,” katanya.

Semalam, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dan tersinggung dengan tindakan Mahfuz yang memperlekehkan Sultan Pahang dalam ceramah politiknya dan menganggap Mahfuz melanggar tatatertib seorang Melayu.

Baru-baru ini, tersebar klip video ceramah Mahfuz bersama Pakatan Harapan yang mengulas tentang kewajaran Tun Dr Mahathir berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Sultan Pahang walaupun sudah gering.

Berikutan itu, banyak pihak yang membuat laporan polis berhubung tindakan Mahfuz.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan akan dijalankan dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah membantu merakam percakapan Mahfuz ekoran satu siasatan yang sedang dijalankan oleh JSJ Pahang. Laporan polis telah dibuat terhadap Mahfuz yang mempersendakan Sultan Pahang dalam satu rakaman video,” katanya. – Bernama