klpost2

Lovi Poe tarik minat Jake dan Industri

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Sering memancing khalayak dengan kehebatan aksinya, aktres muda Filipina, Lourdes Virginia Moran Poe atau umum mesra menyapanya, Lovi Poe bebas daripada acuan yang dibentuk industri hiburan. Membawa perjalanan kariernya merentas laluan berbeza, Lovi, 23, sentiasa mencari kepelbagaian dalam karakter yang dijayakan untuk memperbaiki mutu lakonannya.

Barangkali kerana itu, anak gadis aktor legenda, Fernando Poe ini sentiasa memukau khalayak apabila setiap penampilannya sering menerima pujian.

Antara aktres pelapis paling sibuk dan dikagumi dengan pencapaian luar biasanya, Lovi menyapa peminat drama Filipina di negara ini menerusi siri, Legacy yang kini bersiaran di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 3 petang.

“Saya sentiasa mempelbagaikan watak, malah mendesak diri mencuba karakter berbeza kerana inginkan cabaran sebagai seorang aktres,” kata Lovi yang memulakan karier seninya ketika berusia 17 tahun.
Enam tahun bergelumang dalam industri lakonan, Lovi membuktikan kehadirannya tidak hanya bersandar kepada populariti semata-mata.

Antara deretan trofi yang pernah digenggam Lovi adalah Artis Baru Terbaik, SOP Awards; Aktres Baru Terbaik, 24th PMPC Star Awards for Movies; Aktres Terbaik, FAMAS Awards dan Aktres Pembantu Terbaik, FAP Luna Awards.

Enggan perjuangannya terhenti di situ, Love yang turut mengukir nama sebagai penyanyi mengakui, masih banyak ruang untuk diperbaiki.

“Cabaran itu ada di mana-mana dan saya harus bersedia menempuhinya. Sama seperti kerjaya lakonan, saya perlu sentiasa bersedia menerima cabaran baru untuk tidak berasa terikat pada satu kedudukan,” katanya.

Hanya sempat beraksi untuk dua drama bersiri iaitu Legacy dan Yesterday’s Bride, 2012 menyaksikan Lovi kekal menjadi pilihan penerbit filem.

Lima filem, termasuk filem pecah panggung, Tiktik: The Aswang Chronicles memberikan pengalaman baru kepada Lovi memperlihatkan keampuhannya sebagai aktres serba boleh.

“Penggambaran filem itu dilakukan di sebuah gudang apabila keseluruhan tempat itu diubah suai menjadi studio.

“Kami berlakon berlatarkan layar hijau dan semua kesan khas dilakukan ketika proses pasca produksi. Ia sesuatu yang baru untuk sinema tempatan.

“Digandingkan dengan Dingdong Dantes menjadi impian setiap aktres. Saya bangga kerana Tiktik merealisasikan impian saya untuk beraksi di sisinya,” katanya mengenai filem arahan Erik Matti itu.
Mimpinya selama ini juga terjawab menerusi Thy Womb yang memberinya ruang untuk berkolaborasi dengan dua nama besar di layar perak, Brillante Mendoza sebagai pengarah dan aktres, Nora Aunor.

“Sempat saya menonton sedutan filem itu di Festival Sineng Pambasa di Davao. Saya kagum dengan kehebatan babak dalam filem berkenaan.

“Bayangkan penggambaran Thy Womb langsung tidak menggunakan lampu studio, sebaliknya Mendoza bergantung kepada cahaya persekitaran.

“Saya juga sukakan Tawi-Tawi yang menjadi lokasi Thy Womb yang akan menemui penonton pada 25 Disember ini. Penduduk pulau itu sangat baik, malah mereka sentiasa memuji kehebatan mendiang bapa saya.

“Mendengar segala yang baik mengenai mendiang membuatkan saya sentiasa dekat dengannya,” kata Lovi yang menambah profil filem menerusi produksi Guni-Guni, The Bride and the Lover dan Lihis untuk 2012.

Mempertahankan hatinya masih belum dimiliki, Lovi bagaimanapun sering diburu gosip yang mengaitkannya dengan aktor kacak, Jake Cuenca.

Gosip itu semakin hangat diperkatakan apabila Cuenca berterus terang mengakui, tertarik dengan keperibadian gadis kelahiran Quezon City itu.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Lovi berkata, dia menghargai perhatian yang diberikan Cuenca. Lovi juga tidak menafikan mereka bersahabat baik.

“Dia lelaki budiman, cuma saya belum bersedia untuk melangkah ke alam percintaan. Jadual saya terlalu padat hingga saya merasakan, langsung tidak mempunyai masa untuk diri sendiri.

“Bagaimana mahu keluar bersama kerana tuntutan masa yang padat? Saya berusaha mencari masa untuk diri sendiri, jadi persoalan mengenai cinta belum terlinta dalam hidup saya,” katanya.

Gosip cinta seolah-olah membuka rezeki buat mereka berdua apabila Lovi dan Cuenca dipertemukan dalam filem bebas, Lihis yang diilhamkan penulis skrip veteran, Ricky Lee.

“Saya tidak boleh mengelak jika perkara ini akan diperbesarkan. Tetapi semua itu tidak akan memberi kesan terhadap persahabatan kami, sama ada di dalam atau di luar set.

“Terpulang apa juga tafsiran, cuma saya dan Cuenca berusaha memastikan hubungan ini tiada masalah,” katanya.

Dilaporkan bakal meninggalkan saluran GMA selepas kontraknya berakhir dalam masa terdekat ini, Lovi mengakui, berdepan cabaran besar ketika membawakan watak Natasha Alcantra dalam drama berantai, Legacy.

“Saya berdepan kesukaran untuk memainkan watak itu. Natasha seorang yang baik terutama ketika bersama orang yang disenanginya, tetapi berubah sebaliknya apabila berdepan dengan mereka yang dibencinya.

“Mungkin ada yang melihat persamaan dengan watak Serafina yang saya jayakan dalam Temptation Island, tetapi ia sebaliknya berbeza.

“Penggambaran dilakukan tiga kali seminggu, membuatkan saya terbawa-bawa emosi Natasha setiap kali pulang ke rumah.

“Saya senang melalui pengalaman itu kerana ia menguji kemampuan sebagai seorang pelakon. Banyak yang terpaksa dilakukan untuk disesuaikan dengan tuntutan watak itu,” katanya. -bharian