klpost

Lingam dipenjara 6 bulan hina mahkamah

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Putrajaya
– Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memerintahkan Datuk V.K. Lingam menjalani hukuman penjara enam bulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah berhubung dakwaan serius seorang hakim memplagiat penghakiman satu kes sivil.

Bekas peguam itu tidak hadir di mahkamah mahupun diwakili oleh peguam hari ini. Beliau dilaporkan sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 2013.

Keputusan itu dicapai oleh panel lima hakim bersidang diketuai oleh Tan Sri Abu Samah Nordin selepas mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke yang mewakili Peguam Negara.

Hakim Abu Samah ketika menyampaikan keputusan itu berpuas hati bahawa bekas peguam tersebut disabitkan dengan tindakan menghina mahkamah dan wujud alasan yang kukuh bagi memerintahkannya menjalani hukuman penjara.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan seramai 21 individu membayar denda berjumlah RM2.15 juta selepas mereka disabitkan atas tuduhan menghina mahkamah berhubung dakwaan yang sama.

Mereka terdiri daripada seorang peguam, A. S. Thisinayagam yang dikenakan denda RM150,000 atau penjara setahun manakala 20 lagi individu didenda RM100,000 atau penjara lapan bulan setiap seorang.

Lingam yang turut dikenakan dakwaan yang sama, tidak hadir di hadapan panel bersidang ketika itu kerana masih menerima rawatan perubatan di AS manakala tiga yang lain juga tidak hadir kerana sedang dirawat ekoran masalah kesihatan.

Prosiding menghina mahkamah itu dikemukakan oleh Peguam Negara bagi menggantikan pemohon asal, Ooi Woon Chee dan Ng Kim Tuck yang merupakan dua penyelesai bagi Kian Joo Holdings Sdn. Bhd. (KJH), selepas kedua-duanya tidak meneruskan prosiding itu terhadap para responden.

Selain Lingam, mereka terdiri daripada 12 individu termasuk bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd. (KJCF), Datuk See Teow Chuan yang merupakan penyumbang majoriti Kian Joo Holdings. Thisinayagam dan 11 lagi individu yang merupakan penyumbang minoriti KJH.

Pada 5 Januari 2012, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada dua penyelesai KJH itu untuk meneruskan penjualan 146.13 juta saham Kian Joo yang dipegang oleh KJH kepada Can-One Bhd. bagi RM241.12 juta. – Utusan