klpost

Lelaki Pakistan ditemui bergari atas balkoni rumah kedai

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Shah Alam
– Seorang lelaki warga Pakistan ditemui dengan keadaan kedua-dua tangannya digari di atas balkoni sebuah rumah kedai di Seksyen 22 , Taman TTDI Jaya, di sini awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superitenden Nek Zaidi Zakaria berkata. lelaki yang berumur 40 tahun itu dipercayai dilarikan tiga lelaki, termasuk seorang lelaki warga Arab, dari rumah mangsa di Klang kira-kira pukul 8 malam tadi, sebelum meninggalkan mangsa seorang diri di balkoni rumah kedai berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang peniaga gagal membayar hutang berjumlah RM100,000 kepada rakan kongsinya.

“Disebabkan itu, rakan kongsi mangsa dikatakan bertindak menggari dan membiarkan mangsa di balkoni sebelum dia diselamatkan kira-kira 6.30 pagi tadi selepas kelibatnya disedari orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nek Zaidi berkata, pihak bomba dari balai Kota Anggerik di sini, terpaksa menggunakan tangga untuk menurunkan lelaki itu sebelum menyerahkannya kepada polis.

Katanya polis sedang berusaha mengesan kesemua suspek terbabit. – Bernama