klpost

Lelaki maut Perodua Myvi terbabas rempuh plaza tol

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Johor Baharu – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Plaza Tol Lima Kedai, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Nor Hashim Mohamed berkata kejadian kira-kira 11.15 malam itu menyebabkan Chong Yue Sheng, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan kerana tersepit di dalam kereta.

“Kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian Chong yang dari arah Gelang Patah menghala ke Senai telah hilang kawalan dan terbabas lalu berpusing melanggar besi penghadang jalan di dalam kawasan tol,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Nor Hashim berkata Chong yang merupakan penganggur, berasal dari Gelang Patah, di sini.

Beliau berkata mayatnya dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.

“Tempat kejadian telah dilawati dan mendapati keadaan cuaca adalah baik, berlampu (malam), jalan rata dan bertar. Terdapat enam lorong di kawasan kemalangan dan tiada sebarang kekeliruan tanda jalan,” katanya. – Bernama