klpost

Lelaki intai wanita dalam tandas

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Gara-gara mengintai seorang wanita membuang air kecil dalam tandas, seorang jurujual didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Bobby Ng Hock Ann, 31, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengintai wanita berusia 33 tahun itu dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita tersebut.

Dia yang tinggal di Taman Bukit Maluri, Kepong, didakwa melakukan kesalahan itu di tandas wanita, Aras LG, Kompleks Desa, Jalan Kepong, Kepong di sini pada 11 pagi, semalam.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh memanjat dinding di tandas bersebelahan tandas wanita itu dan kemudian mengintai dari atas semasa wanita itu membuang air kecil.

Bobby membayar denda tersebut. – BERNAMA