klpost

Lelaki hilang ditemui mati dalam kebun

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Tongod
– Seorang lelaki ditemui mati selepas tiga hari dilaporkan hilang ketika keluar ke kebun di Kampung Minusoh, di sini.

Mangsa, Salmin Ramatan, 37, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan penduduk, kira-kira 9.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dipercayai mempunyai penyakit jantung dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun kira-kira jam 2.30 petang, Isnin lalu.

Isteri mangsa yang bimbang dengan kehilangan suaminya memaklumkan kejadian itu kepada penduduk yang kemudian membantu mencari mangsa, namun gagal.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Telupid/ Tongod, Leftenan Amrin Amirun, berkata pihaknya hanya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa malam tadi.

Katanya, operasi mencari dilancarkan bermula jam 8.30 pagi tadi membabitkan 10 anggota APM, Polis Diraja Malaysia dan lebih 30 penduduk kampung.

“Mangsa ditemui sejam selepas operasi mencari dilancarkan di kawasan hutan berhampiran kebunnya,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. – BH Online