klpost3

Lelaki ditembak ketika cuba menyelamatkan keluarga

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

tembakKULIM – Seorang lelaki berusia 26 tahun, yang bekerja sebagai pembantu di kedai telekomunikasi di sini nyaris maut apabila dua lelaki tidak dikenali melepaskan satu tembakan ke arahnya, kira-kira jam 8 malam Selasa lalu.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru balik bekerja dan sedang berehat di ruang tamu rumahnya, manakala enam ahli keluarga lain berada di dalam bilik.

Mangsa terkejut apabila menyedari suspek masuk ke rumahnya.

Mangsa kemudiannya cuba melarikan diri untuk menyelamatkan keluarga bagaimanapun ditembak di bahagian belakang sebelah kiri badannya sebelum dihantar ke hospital oleh waris terdekat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Chin Su Song berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Su Song berkata, sehingga kini polis masih menyiasat motif kejadian dan meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat kejadian itu supaya memaklumkan kepada  polis.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh,” katanya. – SH