klpost

Lelaki dibaham buaya semasa buang air

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUCHING: Seorang buruh binaan yang sedang membuang air besar nyaris maut dibaham buaya dalam kejadian di bawah jambatan merentasi Sungai Sarawak berdekatan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pagi semalam.

Sebelum kejadian jam 8 pagi itu, lelaki warga Indonesia berkenaan yang dikenali sebagai Pai, 32, dari Pulau Jawa, tiba-tiba sakit perut sebelum membuat keputusan ke bawah jambatan berkenaan bagi membuang air besar.
Dia yang bekerja di sebuah tapak pembinaan berdekatan berkata, berikutan perutnya semakin memulas, dia tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa mencangkung di tepi sungai di bawah jambatan berkenaan.

“Hanya beberapa minit selepas membuang air besar, secara tiba-tiba buaya dianggarkan sepanjang lebih dua meter menyambar pinggang saya dari belakang.
“Pada mulanya saya terkejut dan panik kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku dan hanya beberapa saat kemudian baru saya sedar ia seekor buaya,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menurutnya, ketika bergelut untuk cuba melepaskan diri dari gigitan buaya berkenaan, dia mendapat kudrat untuk melawan dengan menumbuk sekuat hati mata haiwan berkenaan.

“Nasib memihak kepada saya apabila buaya berkenaan melepaskan gigitan sebaik tumbukan saya mengenai sebelah matanya,” katanya.
Pai berkata, sebaik buaya itu melepaskan gigitan, dia terus berlari meminta pertolongan rakan sekerjanya dalam keadaan tubuh berlumuran darah akibat serangan haiwan ganas itu.

“Apabila terlepas daripada mulut buaya, saya seperti mendapat kekuatan luar biasa untuk lari meminta pertolongan walaupun pinggang saya terasa amat sakit.
“Saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu. Inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan dalam hidup saya.” katanya, Pai kemudiannya dihantar ke HUS untuk rawatan dan keadaannya kini dilaporkan dalam keadaan stabil. – Metro