klpost

Lari lintang-pukang ternampak ‘pak guard’,jatuh maut

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SUBANG JAYA  –  Seorang lelaki warga Nigeria berusia 25 tahun maut selepas terjatuh dari ketinggian 18 meter di sebuah dewan pusat beli-belah di sini, yang masih dalam proses pembaikan Ahad lalu selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Ebhojie Oluwaseun Abiodin dikatakan berada di kawasan itu berseorangan sebelum kehadirannya disedari pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa yang panik melihat kehadiran pengawal keselamatan itu cuba melarikan diri sebelum terjatuh dari dewan berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang parah di kepala kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sebelum meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala kerana terjatuh dari tempat tinggi.
“Mangsa datang ke Malaysia pada 2010 sebagai pelajar di Kolej KL Metro, namun sejak September 2012 mangsa tidak pernah menghadiri kuliah malah pasport juga tamat tempoh,” katanya.

Yahaya berkata, pihak kedutaan dan saudara maranya juga sudah dimaklumkan, kes diklasifikasikan kematian mengejut (SDR).

-Metro