klpost

Lagu sambutan kemerdekaan ingin membodek

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM – Lirik lagu tema sambutan kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ dilihat sebagai satu penghinaan kepada kemerdekaan negara dan hanya bertujuan untuk meraih kelangsungan hayat politik Umno-BN semata-mata.

Bekas penulis lirik terkenal, Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman dalam reaksinya berkata, kemerdekaan negara sebenarnya membawa makna yang luas dan istimewa bagi rakyat Malaysia yang selama ini tidak melihat sambutan berkenaan sebagai satu medan politik kepartian mana-mana pihak.

“Pada saya ia satu penghinaan besar kerana lirik tersebut hanya menggambarkan kerja-kerja politik dan bukannya melambangkan besarnya erti kemerdekaan kepada kita semua rakyat Malaysia.

“Kalau Umno betul-betul ingin menghayati erti kemerdekaan, lirik tersebut tidak sepatutnya bias,” katanya ketika dihubungi TV Selangor. Menurutnya lagi, penulis lirik tersebut hanya ingin ‘membodek’ rakyat supaya terus menyokong BN dan bukannya menghayati erti kemerdekaan.

Lagu bertajuk ‘Janji Ditepati’, lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim dipilih menjadi lagu tema sambutan kemerdekaan negara.

Minggu ini menyaksikan ruang laman sosial Facebook dan Twitter dihangatkan dengan isu video lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 yang dilihat sebagai modal politik Umno-BN untuk memancing undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Paling mencuri tumpuan, rangkap ‘Janji Sudah Ditepati, Kini Masa Balas Budi’ menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang menganggap rangkap berkenaan sebagai ‘menuntut’ rakyat mengenang kembali jasa pemerintahan Umno-BN. – SelangorKu