klpost

Lagi artis bakal muflis

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Selepas mengeluarkan notis muflis terhadap Shaheizy Sam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHD) bakal mengisisytiharkan beberapa lagi nama selebriti tempatan yang bakal muflis ekoran gagal menjelaskan hutang cukai.

Memetik laporan BH online, pegawai perhubungan awam LHDN, Masrun Maslim, berkata artis terbabit akan dikenakan tindakan jika mereka tidak berusaha untuk menjelaskan tunggakan terbabit.

“Saya tidak mahu kata ramai (artis), tetapi dalam rekod kami, memang ada selebriti yang akan dikenakan tindakan serupa (seperti Sam) selepas ini.

“Hanya tunggu masa saja. Jika mereka tidak mengambil usaha untuk menjelaskan tunggakan, mereka boleh dibawa ke mahkamah dan seterusnya diambil tindakan muflis. Ia adalah prosedur biasa dalam pungutan cukai,” katanya.

Masrun juga berkata, artis yang masih tidak tahu mengenai cukai pendapatan yang harus dibayar, boleh melayari laman sesawang agensi terbabit.

“Segala maklumat mengenai tanggungjawab percukaian boleh dicari di laman sesawang LHDN.

“Terpulang kepada selebriti itu untuk mengambil tahu mengenai cukai mereka. Jika masih tidak faham, mereka boleh berjumpa pegawai kami bagi mendapatkan penerangan.

“Jangan hanya tunggu kami datang kepada mereka. Prosedur tetap sama untuk semua orang dan tiada yang istimewa,” tegasnya.