klpost

Kontroversi memilih Ratu Cantik Malaysia (Miss Universe Malaysia )

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ratu Cantik Malaysia atau Miss Universe Malaysia (MUMO) hari ini membidas artikel yang disiarkan International Business Times (IBTimes) kerana mengkritik pemilihan ratu cantik negara ini.

Pengarah Kebangsaan MUMO Andrea Fonseka berkata (foto) artikel yang disiarkan pada 14 Julai itu adalah tidak adil dan tidak wajar serta mencerminkan kejahilan penulis mengenai latar belakang kaum di Malaysia.

“Ya, secara dominan bangsa kita adalah Melayu, Cina dan India. Tetapi kita juga ada kumpulan etnik lain. Oleh itu jangan buat penilaian terhadap kebudayaan dan negara sesebuah masyarakat yang anda tidak arif,” katanya dalam temu bual ekslusif dengan Bernama, di sini.

Artikel bertajuk ‘The Politics of Beauty: Is Malaysia’s Miss Universe Contestants Too White?” secara khusus memilih Malaysia sebagai sebuah Negara yang cenderung memilih ratu berkulit putih bagi mewakili negara di pertandingan Miss Universe, selain pemilihan juga lebih kepada mereka yang berwajah kebaratan sejak akhir-akhir ini.

Artikel itu menimbulkan keraguan tentang ‘ke-Malaysiaan’ anak jati Pulau Pinang Kimberly Legget yang memenangi Miss Malaysia 2012 dan berdarah kacukan Kaukasia-Serani, kerana dianggap penulis ‘terlalu putih’ selaku rakyat Malaysia.

“Bagi saya, anda tidak boleh memilih seorang gadis sebagai ratu hanya kerana dia ‘terlalu putih’ atau berdasarkan warna kulit. Kita memahkotakan seorang gadis kerana dia layak dan perbuatan diskriminasi terhadap gadis berkulit putih kerana mereka tidak nampak ‘keMalaysiaan’ boleh menjejaskan,” kata Fonseka.

Jelitawan yang dimahkotakan Miss Universe Malaysia 2004 itu juga berdarah kacukan.

Katanya istilah berwajah Malaysia tidak wujud, yang ada hanya jelitawan Malaysia dan penulis patut menjelaskan maksud berwajah Malaysia bagi mewajarkan laporan itu.

Artikel itu juga menonjolkan isu kaum di negara ini dengan menyatakan setiap kaum diasing dari segi politik.

“Kita rakyat Malaysia pelbagai bentuk, saiz dan warna kulit dan saya fikir tidak ada seorang pun yang memiliki wajah Malaysia yang sebenar. Kita mempunyai pelbagai kebudayaan, oleh itu kita tidak boleh rujuk kepada satu rupa paras sahaja,” katanya.

Artikel itu juga mengkritik tindakan MUMO memperkenalkan ‘reality show’ menerusi televisyen sebagai sebahagian proses pemilihan.

Fonseka yang mempertahankan konsep itu berkata langkah tersebut membolehkan orang ramai mengikuti dan mengenali persoanliti peserta.

Katanya konsep itu yang diperkenal tahun lepas akan diteruskan tahun ini dengan sedikit pengubahsuaian.

“Tahun lepas semua rakaman dibuat secara langsung tapi tahun ini kita akan buat prapenggambaran untuk lima episod,” katanya menambah akan ada pembabitan orang awam dalam pemilihan peserta menerusi khidmat pesanan ringkas.

Katanya Miss Universe Malaysia 2013 menarik lebih 1,000 peserta setakat ini dan proses menyenarai pendek telah dilakukan bagi menentukan finalis yang akan diumum pada minggu pertama September ini.

Pertandingan itu akan diadakan pada pertengahan Disember di Kuala Lumpur, katanya.

 

 

– Bernama