klpost

Kongres India Muslim Malaysia akan membantu Barisan Nasional (BN)

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

GEORGETOWN – Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) akan membantu Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menawan kembali kepimpinan negeri itu daripada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden Kebangsaan Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, Kerajaan PR telah melepaskan peluang diberikan rakyat pada pilihan raya umum 2008.

“Banyak janji manis dibuat PR kepada rakyat, tetapi mereka gagal untuk menunaikan janji itu.

“Terdapat banyak kelemahan dalam kepimpinan PR, tetapi mereka tidak melakukan apa-apa untuk membaiki kelemahan mereka sepanjang memerintah,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Konvensyen Kimma Negeri Pulau Pinang, di Dewan Parti Gerakan, di sini, semalam.

Lebih 300 ahli Kimma menghadiri Konvensyen itu yang dirasmikan oleh Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

Ibrahim berkata, walaupun BN mempunyai 14 parti komponen dengan agenda masing-masing, namun mereka tetap ada persefahaman dengan pucuk kepimpinan utama yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bagaimanapun, perpaduan dan kesatuan itu tidak terserlah dalam PR. Oleh itu, saya meminta ahli Kimma untuk memberikan sokongan penuh kepada usaha BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini,” katanya.

Sementara itu, Chang Yeow berkata, tidak mustahil untuk merampas Pulau Pinang daripada tangan PR sekiranya Kimma bekerjasama dengan semua komponen partinya dan penyokong BN.

“Kita minta jasa Kimma agar turun padang bersama BN mengadakan lawatan dari rumah ke rumah,” katanya. – SH