klpost

Komen Nurul Syuhada – TV3 minta maaf

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM – Stesen TV3 hari ini menjelaskan bahawa penyampaian pengacaranya semasa lintas langsung sambutan Hari Kemerdekaan di Kuala Lumpur Jumaat lalu mengenai Bintulu, salah satu bandar utama di Sarawak, telah disalah tafsir.
“Bagi pihak TV3, kami ingin menerangkan bahawa terdapat salah tafsiran terhadap penyampaian oleh pengacara kami Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain ketika merujuk kepada pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia tahun ini, semasa siaran lintas langsung perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lepas.

“Kami meminta maaf jika salah tafsir ini menyinggung mana-mana pihak,” kata TV3 dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

Kenyataan itu menambah, Nurul Syuhada dan TV3 tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan bandar tersebut.

Beberapa pemimpin dari Sarawak mengecam dan menggesa stesen itu memohon maaf atas alasan personaliti TV3 telah menjejaskan reputasi Bintulu.

Semalam, Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kenyataan pengacara TV3 itu semasa lintas langsung sambutan Hari Kemerdekaan telah menjejaskan reputasi Bintulu.

Beliau berkata, kenyataan Nurul Syuhada bahawa Bintulu adalah sebuah kawasan daif bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat di kawasan itu tetapi juga Sarawak dan dengan itu beliau meminta stesen televisyen itu segera memohon maaf secara terbuka.

“Kenyataan ini dibuat semasa lintas langsung yang ditonton oleh jutaan rakyat yang telah menjejaskan (reputasi) Bintulu. Ia memberikan tanggapan salah mengenai Bintulu yang selama ini telah menyumbang berbilion ringgit kepada pendapatan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, tidak sepatutnya wujud kesangsian mengenai pemilihan Bintulu sebagai pusat sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September kerana ia mempunyai keupayaan untuk menjadi tuan rumah acara itu.

Bintulu ialah satu daripada kawasan di Sarawak yang mencatatkan pembangunan pesat dan menjadi pusat kepada aktiviti pemprosesan minyak dan gas, industri berteknologi tinggi dan sebahagian kawasan penting Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, kata beliau semalam. – SH