Wednesday , 27 August 2014

Ketua AMK Nazree, didakwa di mahkamah sesyen

Nazree dSEREMBAN –  Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan didakwa di mahkamah sesyen, di sini, kerana gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Seremban mengenai penganjuran perhimpunan pada 17 Mei lalu.

Mohd Nazree Mohd Yunus, 28, memakai baju T dan berseluar berwarna gelap, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Jagjit Singh Bant Singh. Beliau mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazree didakwa telah gagal memaklumkan 10 hari sebelum Program Ceramah Umum Pasca PRU13 diadakan di tapak letak kereta bersebelah Jalan Haruan 4/7, Pusat Komersil Oakland, di sini, kira-kira jam 8.30 malam pada 17 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, yang mengendalikan pendakwaan, mencadangkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin terhadap Mohd Nazree.

Bagaimanapun, peguam, Tang Jayson yang mewakili  Mohd Nazree, membantah jaminan itu, sebaliknya memohon agar anak guamnya dibebaskan tanpa bayaran atau penjamin dengan alasan ia adalah satu kes saman dan jaminan tidak perlu ditentukan dalam memastikan kehadirannya di mahkamah setiap kali kes ini disebut.

Jayson berkata, kes itu juga bukan kes tangkap.

Jagjit Singh membenarkan Mohd Nazree diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Barisan pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, manakala peguam Cha Kee Chin dan Hanif Hassan mewakili Mohd Nazree.

Penyokong PR mula berkumpul di luar mahkamah seawal jam 8.30 pagi.

Hadir sama,  Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong. – SH


Scroll To Top