klpost

Kes samun: Penjual bola golf terpakai didakwa

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PETALING JAYA: Seorang penjual bola golf terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyamun seorang pengurus kewangan wanita, lapan hari lalu.
Rozainudin Zainudin, 24, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyamun R. Naliny, 32, dengan mengambil seutas rantai leher emas, di pasar malam Jalan SS3/29 di sini, pada jam 5.30 petang, 11 September lalu.

Rozainudin yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap Rozainudin.

Rozainudin memohon mahkamah agar jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan kedua orang tuanya sakit dan dia berasal dari keluarga yang susah.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Oktober untuk tarikh sebutan. – BERNAMA