klpost

Kes culik Nayati

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes tiga lelaki yang didakwa menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne bahawa pihaknya belum menerima laporan kimia dan laporan rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian.

Lee Phak Seng, 19, dan Chang Tat Siong serta Foong Khar Fai, masing-masing berusia 24 tahun, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama menculik Nayati, 12, di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields pada 7.30 pagi, 27 April lepas.

Lee dan Foong yang bekerja sendiri serta Chang, seorang jurujual didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika ia tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan.

Chang dan Foong diwakili peguam bela Rejinder Singh manakaka Lee diwakili peguam Chong Joo Tian.

Nayati ditemui di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan di sini pada pukul 7.55 pagi, 3 Mei lepas setelah dilarikan dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont Kiara ketika berjalan ke sekolahnya. – Bernama