klpost

Kes culik Nayati

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret menetapkan 28 Sept ini untuk menyebut semula kes tiga lelaki yang didakwa menculik kanak-kanak warga Belanda Nayati Shamelin Moodliar, 12, dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne memaklumkan pihaknya belum menerima laporan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung insiden itu di lokasi kejadian.

“Pihak kami hanya memperoleh laporan kimia berhubung kes ini, dan kami pohon tarikh baru dalam masa sebulan,” katanya.

Lee Phak Seng, 19, Chang Tat Siong, 24, dan Foong Khar Fai, 24, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, menculik mangsa di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields pada 7.30 pagi, 27 April lepas mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Peguam Rejinder Singh, yang mewakili Foong, pula memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya memerlukan rawatan bagi penyakit kulit yang dihidapi sejak ditahan reman kerana permohonan itu tidak dilayan pihak penjara.

Mahkamah kemudian mengarahkan pegawai penyiasat kes itu memberi rawatan sewajarnya kepada Foong.

Rejinder turut mewakili Chang manakala Lee diwakili peguam Chong Joo Tian. Dalam kes ini, Nayati ditemui di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh pada 7.55 pagi, 3 Mei lepas setelah dilarikan dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont Kiara ketika berjalan kaki ke sekolah itu. – Bernama