klpost

Kes bunuh lelaki di Cheras, dua pucuk pistol jumpa di Putrajaya

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

polis-maut-terjun-kondo-elak-dicekup-jais
Putrajaya
– Polis hari ini menemui dua pucuk pistol dan beberapa butir peluru di dalam sebuah tasik di sini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang lelaki di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9 Cheras pada 10 Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penemuan itu susulan soal siasat yang dijalankan terhadap seorang daripada 13 suspek yang ditahan berkaitan kes itu.

“Seorang daripada suspek telah mengaku memiliki pistol dan pistol tersebut telah dicampakkan ke dalam sebuah tasik di Putrajaya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Polis membawa suspek terbabit ke tasik yang menjadi lokasi pistol itu dibuang di mana pasukan penyelam forensik menemui dua pucuk pistol serta beberapa butir peluru.

Pada 10 Mac lepas, seorang lelaki berumur 39 tahun ditemui mati dengan satu kesan tembakan di dahi di tingkat tiga sebuah rumah di Bandar Tun Hussein Onn. – Bernama