klpost

Kerajaan Selangor Menyaman MCA – Kes RM 181 juta penjualan tanah milik Talam

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

PENULIS tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan Selangor untuk menyaman Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong berhubung soal penjualan tanah milik Talam Corporation (kini dikenali sebagai Trinity Corporation), bernilai RM 181 juta – yang di dakwa RM 42 juta lebih tinggi dari harga pasaran yang sepatutnya.

Jelasnya, ini bukan isu peribadi tapi membabitkan dana rakyat negeri Selangor yang dikatakan disalahgunakan untuk menutup kerugian yang ditanggung anak syarikat kerajaan negeri tersebut.

Justeru penulis mahu isu ini dibawa ke pendengaran Jawatankuasa Keupayaan, Akauntabiliti dan Ketelusan (SELCAT) untuk dibincangkan dan diputuskan. Jika selepas itu pihak SELCAT berpendapat isu ini perlu dibawa ke mahkamah, barulah proses perundangan yang selanjutnya boleh diteruskan.

Ini penting kerana seingat penulis, penubuhan SELCAT dahulu adalah untuk membincangkan perkara-perkara seumpama ini. Kalau semua isu mahu dirujuk ke Mahkamah, lebih baik tidak payah ada SELCAT.

Kalau boleh, penulis mahu semua pihak kembali kepada tujuan penubuhan SELCAT dahulu, untuk membincang dan menyiasat isu-isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan kewangan negeri. Seterusnya membuat pendengaran awam dan rekomendasi yang sepatutnya kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.

Atau jika melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tindakan boleh diambil oleh Speaker mengikut peraturan mesyuarat sedia ada.

Dalam erti kata lain, isu-isu seperti dakwaan penyelewengan dalam pentadbiran ini memang menjadi bidang tugas SELCAT dan selayaknyalah untuk jawatankuasa tersebut menyiasatnya.

Kita tidak boleh mengambil resmi UMNO yang cepat sahaja membawa kes-kes penyalahgunaan kuasa kerajaan pusat ke Mahkamah untuk menutup mulut pengkritik dan menafikan hak rakyat untuk membincangkan kes tersebut secara terbuka.

Contohnya dalam kes saman Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil ke atas Rafizi Ramli dan YB Zuraidah Kamarudin dalam kes NFC.

Ini taktik yang tidak lagi berkesan dalam zaman sekarang. Rakyat perlu tahu apa yang berlaku, kalau ada penyelewengan, bagaimana ia bermula dan bagaimana ia akan berakhir, siapa yang terlibat dan sebagainya.

Proses mahkamah pula sangat teknikal dan memakan masa.

Penulis harap pentadbiran kerajaan negeri Selangor membatalkan dulu hasrat untuk menyaman Chua dalam isu ini, sebaliknya menyerahkan kepada SELCAT untuk dibincangkan secara pendengaran terbuka. Kalau kemudiannya diputuskan bahawa perkara ini hendaklah dibawah ke mahkamah, barulah kerajaan negeri meneruskan saman tersebut.

Yang penting rakyat perlu dijelaskan tentang apa sebenarnya yang berlaku kerana RM 42 juta bukan nilai yang sedikit, apatah lagi ia wang rakyat Selangor.