klpost

Kerajaan Selangor memperkenalkan program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR)

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM – Melangkah setapak lagi, program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) Selangor baru-baru ini memperkenalkan pakej bantuan pinjaman baru iaitu Pakej Bantuan Niaga Produk dan Pakej Kombo.

Pakej ini memudahkan para peniaga memiliki dan menjual produk-produk berkualiti di pasaran dengan harga yang lebih murah selain menjana pendapatan dari keuntungan produk tersebut.

Pengurus Jabatan Promosi dan Acara MiMBAR, Hafizatul Akma Othman berkata, Pakej Bantuan Niaga Produk mengandungi produk bernilai RM1,500 yang terdiri daripada produk susu kambing DHA bagi kanak-kanak, susu kambing Collagen bagi dewasa, jeruk madu, kopi serta produk kecantikan wanita.

Menerusi pakej ini, katanya, pemohon akan mendapatkan bantuan pinjaman yang dinilaikan kepada kuantiti barangan tertentu.

Beliau berkata, pemohon boleh memilih pakej-pakej produk yang disediakan bergantung kepada kehendak mereka sendiri.

“Pakej Kombo pula disediakan bagi peserta yang menginginkan bantuan perniagaan melalui pinjaman mikrokredit dan juga bantuan niaga produk dalam satu pakej.

“Tawaran ini dibuat kepada para peniaga yang dilihat berpotensi untuk memasarkan produk-produk yang telah disediakan oleh MiMBAR Selangor.

“Tambahan bantuan niaga produk ini tidak menekankan sebarang paksaan kepada peserta untuk mengambilnya.

“Walaubagaimanapun, peserta tidak boleh menukarkan produk ini kepada nilai wang mikrokredit kerana ia merupakan satu tawaran tambahan kepada peserta itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Hafiza berkata, inisiatif ini dilihat sebagai pemangkin dalam membimbing peniaga untuk bergerak secara komited dan berdikari dalam usaha mencapai dasar ‘workfare’ yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya lagi, kedua-dua pakej itu tidak memerlukan peserta membayar yuran keahlian, tidak perlu membuat jaringan sistem piramid malah tidak membebankan mana-mana pihak.

Jelasnya, peniaga boleh menjual semula harga produk kepada MiMBAR sekiranya mereka tidak berkemampuan untuk menjual produk tersebut dalam masa tiga bulan.

“Pakej yang disediakan bukan sahaja mampu membawa rakyatnya menikmati kelebihan sama rata, bahkan ia juga sekaligus menjadikan MiMBAR sebagai pusat pengedar yang telus.

“Inisiatif ini juga mampu menggalakkan peniaga supaya lebih agresif, berkeyakinan, dan bersungguh-sungguh dalam usaha menambah pendapatan seisi keluarga,” ujarnya. – SelangorKu