klpost

Kerajaan Selangor gagal cabar SPR berhubung persempadanan semula

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Kerajaan Selangor hari ini, gagal dalam permohonan semakan kehakiman dikemukakannya bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) di Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan itu, selepas mendapati ia terikat dengan dua keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tiada hak dari segi Perlembagaan, untuk mencabar kemunasabahan cadangan persempadanan semula, walaupun skop semakan kehakiman sudah diperluas.

Dalam penghakimannya, Azizul Azmi berkata, pemohon semakan kehakiman mengikut Perintah 53 Peraturan 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 perlu membuktikan ia terjejas teruk oleh keputusan atau tindakan berkaitan fungsi dan tanggungjawab awam membabitkan proses persempadanan semula

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini mendapati cadangan persempadanan semula itu tidak mempunyai kesan perundangan, sehubungan itu hak perundangan pemohon (Kerajaan Selangor) tidak terjejas teruk.

Katanya, persempadanan semula adalah perkara eksklusif yang membabitkan pihak legislatif dan sebarang campur tangan oleh badan kehakiman menjadikan ia melangkaui prinsip pemisahan kuasa.

Berhubung dakwaan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menggunakan Daftar Pemilih semasa, Azizul Azmi berkata, beliau berpandangan bahawa apabila Mesyuarat Penyelarasan Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah diadakan pada 14 Julai 2016, ia berdasarkan kepada Daftar Pemilih semasa.

Pemohon turut mendakwa proses persempadanan semula itu cacat kerana ada 136,272 pemilih tidak mempunyai alamat, bagaimanapun hakim itu berkata, walaupun Daftar Pemilih tidak mempunyai alamat, ia mempunyai kod lokaliti.

Katanya, ia berkemungkinan alamat itu sudah sedia ada pada SPR apabila kod lokaliti ditempatkan.

“Walaupun pemohon menyatakan alamat berkenaan hilang ketika pengundi berpindah (walaupun isu itu dibantah SPR), saya berpandangan bahawa perkara itu tidak menjejaskan proses persempadanan semula ini.

“Berhubung isu sama ada ketepatan Daftar Pemilih boleh dicabar, isu itu sudah selesai. Ketepatan Daftar Pemilih tidak boleh dicabar walaupun alamat pengundi tidak lengkap,” katanya.

Pada 19 Oktober 2016, Kerajaan Selangor yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memfailkan permohonan bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di Selangor yang dikendalikan SPR.

Beliau memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi Perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Sementara itu, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan negeri menggantung proses inkuiri tempatan bagi kawasan Parlimen dan DUN Selangor, sehingga rayuannya diputuskan.

Dalam permohonannya, Kerajaan Selangor diwakili peguam, Datuk Dr Cyrus Das dan Datuk S Ambiga, manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh, Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili SPR, Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha, Datuk Abdul Ghani Salleh. – BH Online