SK

Kerajaan Selangor bersedia membayar RM3 juta kepada MIC

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SHAH ALAM, (31 MEI) : Kerajaan Selangor bersedia membayar RM3 juta kepada MIC untuk mendapatkan semula tiga ekar tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Effingham yang didakwa diberi kepada kepada parti itu ketika Datuk Seri S. Samy Vellu menjadi presiden.

Tanah yang terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya itu kemudiannya digunakan untuk membina ibu pejabat MIC.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, bayaran RM3 juta itu adalah setimpal dengan harga premium tanah yang dibayar MIC kepada kerajaan negeri ketika itu.

Beliau berkata, MIC perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana ia membabitkan kepentingan kaum India terutama kepada murid-murid di sekolah berkenaan.

“Tanah seluas enam ekar telah diperuntukkan pemaju Bandar Utama kepada sekolah sebelum ini, namun hanya tiga ekar sahaja yang mereka dapat. Kita gesa MIC untuk serahkan tanah itu kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan kita menyerahkannya kepada Sekolah Effingham untuk diwartakan,” ujarnya.

Sebelum ini, tanah seluas 6 ekar diperuntukkan pemaju Bandar Utama iaitu See Hoy Chan Holdings Group kepada sekolah mengikut peraturan dan dasar Kementerian Pelajaran serta peraturan perancangan bandar.

Bagaimanapun, difahamkan lot 28814 seluas enam ekar dipecah dua kepada lot 50222 yang dimiliki Sekolah Effingham, manakala bakinya diambil MIC.

Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa juga sebelum ini pernah memaklumkan, mengikut peraturan Kementerian Pelajaran, sekolah rendah sepatutnya mempunyai keluasan sekurang-kurangnya enam ekar, manakala sembilan ekar bagi sekolah menengah. – MediaSelangor