klpost

Kerajaan Malaysia Telah Gagal – RM22 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan makanan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

Jawapan Timbalan Menteri Pertanian di Parlimen kelmarin yang menyatakan bahawa Negara kita telah membelanjakan sejumlah RM221.81b sejak 10 tahun lalu bagi tujuan pengimportan bahan-bahan makanan adalah suatu bukti jelas kegagalan kerajaan BN menjana pengeluaran sumber makanan dalam negara.

Pergantungan keterlaluan negara kita kepada sumber bahan-bahan makanan yang diimport, menghadirkan hakikat yang kita tidak sedari, bahawa ia adalah juga ancaman kepada keselamatan rakyat dan survival kehidupan mereka.

Fenomenanya jelas, sebarang bencana alam yang berlaku kepada negara lain akan turut memberi kesan kepada negara kita. Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Bukan setakat menyebabkan harga beras meningkat, malah berlaku juga kenaikan harga sayur-sayuran, ayam dan ikan. Semua ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususnya negara jiran.

Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak- banjir, ribut, kemarau panjang, gempa bumi atau terlibat dalam kancah peperangan. Krisis makanan tentulah akan memuncak dan mampukah bekalan yang dihasilkan di dalam negara untuk menyuap mulut rakyat kita seramai 28.6 juta dan pendatang asing seramai 2.3 juta?

Dalam suatu lagi kemungkinan, bagaimana jika Negara kita pula yang dikenakan sekatan ekonomi yang akan menghentikan sebarang urusan perdagangan dengan dunia luar sebagaimana yang pernah menimpa Iraq, akan kebulurankah rakyat kita?

Ahli hikmat ada berkata, ketika saat ketiadaan bekalan makanan, mereka yang mempunyai stok makanan adalah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari mereka yang mempunyai emas berbongkah-bongkah. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana pengeluaran sumber makanan Negara Mesir yang dirancang dan dilaksanakan dengan begitu bijak oleh Nabi Yusof a.s sehingga kemarau panjang selama 7 tahun tidak menyebabkan rakyatnya kebuluran malah mampu untuk membantu menyuap mulut rakyat negara-negara berdekatan. Beginilah Islam mengambil berat dengan keperluan asasi rakyat.

Di manakah silapnya sistem pertanian kita. Dengan keluasan dan kesuburan muka bumi anugerah Allah, berbilion ringgit peruntukan tahunan, sungai-sungai yang membelah daratan membentuk dataran yang subur, rakyat yang sedia membanting tulang, tetapi pertanian kita belum lagi mencapai tahap sara diri apatah lagi untuk dieksport.

Dengan kata lain, kerajaan telah gagal! Hujahnya, Malaysia telah membelanjakan sejumlah sekitar RM22 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan makanan seperti sayur, ikan, gandum, tepung, susu, koko, teh, daging, ubi kentang, bawang serta buah-buahan. Jumlah import beras dari Thailand sahaja mencecah 307,000 tan metrik setahun.

Bolehkah kita menerima alasan yang diberikan oleh YB Timbalan Menteri Pertanian bahawa kebanyakkan komoditi yang diimport adalah tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara berikutan kos pengeluaran tinggi. Kalau Negara asal di mana sumber komoditi itu diimport boleh menghasilkannya dengan kos pengeluaran yang rendah, kenapa kita tidak boleh?

Budak sekolah pun boleh faham sifir ini. Hasil yang kita tanam dan ternak sendiri sudah tentu lebih murah berbanding kita beli dari orang lain! Dulu pun ada kempen di pihak kerajaan yang menggalakkkan rakyat menanam sendiri sayur-sayuran di sekeliling rumah mereka untuk kegunaan sendiri agar ianya boleh membantu mengurangkan kos hidup seharian. Memang ini menepati kaedah, penghasilan sendiri lebih menjimatkan kos!

Ada isu besar yang perlu diteliti. Di Terengganu contohnya, masih banyak tanah sawah terbiar tanpa dapat diusahakan lantaran masalah infrastruktur seperti pengairan. Ada projek-projek yang dikira boleh menghasilkan sumber makanan negeri seperti projek ternakan kambing kaprima Telaga Papan Setiu, projek ternakan ikan dalam sangkar Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Projek tanaman kelapa pandan di Rhu Tapai semuanya gagal walaupun ratusan juta telah dibelanjakan.

Wang peruntukan lesap tapi di mana kambing, ikan dan kelapa pandan? Gahnya bunyi genderang projek dengan sasaran hasilnya akan dieksport, akhirnya melopong! Belum disebut lagi projek tanaman strawberry yang namanya pun dah dilupakan orang. Terkini projek udang Setiu. Sasarannya juga untuk dieksport sebagaimana Mat Said pernah bercita-cita untuk mengeksport kelapa pandan dari Rhu Tapai ke Jepun!

Belanda, sebuah negeri bersaiz kecil, muka buminya pula berada di bawah paras laut tapi mampu menjadi antara negara pengeluar sumber makanan dunia, walaupun di sana Umno tak dikenali…

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Lujnah Pengguna PAS Terengganu