SK

Kerajaan Malaysia Menolak PBB menyiasat Bersih 3.0

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berpendapat keputusan kerajaan Malaysia menolak tawaran pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat Bersih 3.0, sudah dijangka.

Menurutnya, tidak pelik penolakan tawaran itu kerana kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri pun dipandang sebelah mata oleh pihak kerajaan.

Mahfuz berkata, beliau tidak menolak kemungkinan penolakan tersebut dibuat kerana cuba menyembunyikan sesuatu yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu itu.

“Kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kini semakin diyakini berusaha keras untuk menyembunyi dan melindungi banyak perkara dengan tindakannya mengetepi dan menolak Suhakam untuk menyiasat apa yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 itu.

“Kalau Suhakam yang ditubuhkan oleh kerajaan sendiri pun kerajaan Najib takut, tentulah ia lebih takut lagi kepada siasatan bebas oleh pihak PBB,” kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menolak tawaran Frank William La Rue dengan alasan orang luar tidak perlu menyiasat perhimpunan Bersih 3.0 itu.

Ketika menolak tawaran pelapor khas PBB itu juga, Anifah juga mendakwa, pihak berkuasa Malaysia termasuk polis mampu menjalankan siasatan.

Menyelar alasan Anifah itu, Mahfuz berkata, rakyat tidak bodoh untuk mempercayai kononnya penyiasatan sendiri oleh panel penyiasat yang ditubuhkan kerajaan adalah tidak memihak.

“Kalau Suhakam pun kerajaan BN tolak, tidak mungkin rakyat percaya kononnya panel siasatan yang ditubuhkan oleh kerajaan tidak memihak.

“Lebih-lebih lagi kalau polis yang siasat polis,” kata beliau.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia kata Mahfuz tidak perlu takut dengan siasatan bebas PBB itu. HarakahDaily