klpost

Kepala terhempas di atas jalan selepas ditendang peragut

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

SUNGAI PETANI: “Pada malam Sabtu lalu, arwah memberitahu saya isterinya di dunia dan akhirat, sedangkan dia tidak pernah menyebutnya selepas tujuh tahun kami berkahwin.”

Begitu kata Noor Baizura Rahim, 30, isteri Penolong Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Karangan, Mohd Majdi Abd Hamid, 33, yang menghembuskan nafas terakhir selepas koma selama dua hari sejak Ahad lalu.

Mohd Majdi disahkan meninggal dunia pada jam 6.11 pagi semalam, selepas 41 jam koma di Unit Rawatan Rapi (ICU ) Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH), di sini.

Mangsa parah di kepala akibat terjatuh selepas ditendang ketika cuba menangkap peragut di pekan Bedong, dekat sini.

Kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari Ahad lalu berhampiran Pejabat Pos Bedong apabila mangsa yang minum di gerai berhampiran membantu mengejar dua peragut yang melarikan beg tangan seorang wanita yang menunggang motosikal.

Kepala mangsa terhempas di atas jalan selepas terjatuh akibat ditendang seorang daripada peragut dalam kejadian itu. Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Teh yang dihubungi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di ICU HSAH selepas menerima rawatan sejak dua hari lalu akibat parah di kepala.

Menurutnya, polis sudah menahan seorang suspek dipercayai anggota tentera berusia 26 tahun yang turut menerima rawatan di HSAH kerana cedera di muka dan badan, selain memburu rakannya yang melarikan diri. – Metro