klpost

Kenapa orang Selangor menepikan Sultan Selangor

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menempelak pemimpin pakatan pembangkang yang menjadikan politik sebagai satu permainan khususnya dalam sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos lalu.

Katanya, sebagai pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat maka tentunya mereka bukan saja wajar menjadi contoh dan tauladan tetapi juga harus menyeru masyarakat ke arah kebaikan.

“Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila pakatan pembangkang ini menjadi dalang dalam membawa kepada perkara biadap, memalukan dan tidak menunjukkan semangat patriotisme sebagai warga negara Malaysia malah sambutan di peringkat negeri pun Sultan diketepikan,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri Selangor, dilaporkan Menteri Besar (Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap sudah menjadi kelaziman untuk kerajaan negeri pimpinan beliau tidak menjemput Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri sambutan tersebut. Sebaliknya, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir dan memberikan ucapan dalam majlis tersebut.

“Kerana ketaksuban yang telah ditanamkan maka Sultan yang menjadi ketua kepada kerajaan negeri pun diketepikan dan menjadikan Anwar sebagai ‘orang penting’ dalam sambutan tersebut walhal jawatan dalam kerajaan negeri hanyalah penasihat ekonomi sahaja,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, MB turut menafikan Anwar adalah tetamu kehormat majlis tersebut dengan mengatakannya hanyalah sebagai penceramah jemputan.

“Rakyat bukan bodoh dan boleh dipermainkan sesuka hati dengan macam-macam alasan diberikan untuk menutup aib dan kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka.

“Masyarakat tahu membuat penilaian apatah lagi dengan jawapan yang langsung tidak menunjukkan kematangan dan kewarasan walhal majlis tersebut adalah sambutan peringkat negeri yang tentunya ada protokol, siapa hadir dan tempat duduknya, dimana tetamu kehormat dan dimana tempat penceramah jemputan.”

Tegasnya, tindakan membelakangkang Sultan bukanlah sesuatu yang menghairankan dan bukan baru pertama kali berlaku kerana sebelum ini sudah ada beberapa insiden berkaitan dengan institusi Diraja dengan kepimpinan pakatan pembangkang.

“Pakatan pembangkang tidak perlulah nak berlakon kerana rakyat tidak pernah lupa bagaimana insiden membabitkan kepimpinan tertinggi mereka yang sanggup ‘sembah derhaka’ semasa peralihan pentadbiran kerajaan di Perak, melengah-lengahkan sesi pembukaan Dewan Negeri, menahan kenderaan Baginda malah mempertikaikan tindakan Sultan Johor membida nombor plat kenderaan.

“Pemimpin pakatan pembangkang bersikap bermuka-muka walhal mereka melakukan pelbagai onar yang bukan hanya memberi gambaran negatif kepada masyarakat tetapi juga imej negara di persada antarabangsa,” tambahnya.

Anwar dalam ucapannya di majlis tersebut telah meminta rakyat membuktikan semangat kemerdekaan dan cintakan negara dengan memilih mereka dalam PRU akan datang.

“Sepatutnya Anwar menyeru masyarakat khususnya generasi muda supaya menghayati hari kemerdekaan dengan mengenang nasib pejuang-pejuang negara yang telah berkorban nyawa dalam usaha untuk membebaskan negara dari penjajah selain menghargai kesejahteraan dan keamanan yang ada.” – MediaUMNO