klpost

Kementerian arah sekolah tahfiz ditutup jika tidak patuhi arahan keselamatan bomba

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Tanjong Karang
– Sekolah agama persendirian yang tidak mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diarah ditutup sehingga arahan berkenaan dipatuhi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata beliau telah mengarahkan JBPM melakukan pemeriksaan di semua sekolah agama persendirian di seluruh negara berkuat kuasa hari ini bagi mengenal pasti sama ada reka bentuk bangunan adalah mengikut peraturan dan pendawaian elektrik dalam keadaan baik.

“Pemeriksaan ini akan dilakukan di semua sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh negara. Selepas pemeriksaan ini, bomba akan mengenal pasti sekiranya terdapat ubah suai yang perlu dilakukan bagi tujuan keselamatan terutama di kawasan asrama pelajar.

“Ini termasuk laluan kecemasan dan alat pemadam kebakaran. Jika arahan ini gagal dipatuhi, sekolah berkenaan akan ditutup,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra dan melawat penduduk di Kampung Sungai Tengi Kanan Baroh di sini, hari ini.

Noh berkata arahan penutupan berkenaan bukan bertujuan menyusahkan pengusaha sekolah agama persendirian tetapi bagi menjamin keselamatan pelajar di sekolah berkenaan.

Noh berkata pada 2016 dan 2017, misalnya, sebanyak 29 kejadian kebakaran berlaku di sekolah tahfiz.

“Rata-rata pelajar di sekolah agama masih kecil lagi, (ada yang) berumur sembilan tahun, ada yang tujuh tahun, jadi amat penting keselamatan mereka ini dijaga,” katanya.

Mengulas siasatan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur semalam, Noh berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada JPBM.

“Sekarang kita perlu beri ruang kepada pihak bomba lakukan siasatan dan saya, seperti mana rakyat negara ini, turut berharap punca kejadian dapat dikenal pasti dengan segera,” katanya.

Kebakaran pada 5.15 pagi semalam meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden yang juga guru di pusat tahfiz itu. – Bernama