klpost

Kematian remaja, polis kenal pasti 3 lelaki bantu siasatan

Decrease Font Size Increase Font Size Text Size Print This Page


Kuala Lumpur
– Polis mengenal pasti identiti tiga individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang tular di media sosial sejak Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Mohd Kamal Zainal berkata tiga individu berkenaan dikenali sebagai J Visvanathan, 32; K Shanmuganatan, 35; dan N Thiagu, 38.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada tiga lelaki berkenaan adalah bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori, manakala dua lagi individu tiada hubungan keluarga dengan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal juga mendapati kes melibatkan pelajar tingkatan empat dari sebuah sekolah di Tangkak Johor itu berlaku di sebuah bengkel di Krubong di Melaka dan dipercayai akibat perselisihan faham di antara suspek dengan mangsa.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kelmarin Bernama melaporkan video remaja berkenaan yang mengalami cedera parah akibat dipukul dikejarkan ke Hospital Besar Melaka oleh orang awam kira-kira jam 9.45 malam Isnin.

Remaja berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah perhentian bas di Ayer Keroh di Melaka. – Bernama